KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang didaftarkan atas nama warga asing.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik nombor telefon berkenaan.
“Nombor telefon itu didaftarkan atas nama warga asing, kita masih mengesan individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Pada 13 Ogos lalu, anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu diserang dua lelaki menunggang motosikal dengan disuntik cecair di sebuah pusat-beli di Putrajaya.
Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti jenis cecair yang disuntik dalam badan anak Mohd. Rafizi, Mohd. Khalid berkata, masih menunggu laporan kimia daripada hospital.
“Kita masih menjalankan pemantauan terhadap mangsa, namun dia dalam keadaan baik,” katanya.
Mohd. Khalid berkata, setakat ini seramai 19 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan terdiri daripada ahli keluarga, pemandu dan pekerja serta saksi lain.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diambil di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kita belum dapat mengenal pasti suspek terlibat kerana kedua-dua individu didapati memakai topi keledar.
“Kita juga sedang mengenal pasti beberapa sudut siasatan berkaitan kes berkenaan,” katanya.


































