Elon Musk
WASHINGTON: Bilionair teknologi, Elon Musk dilaporkan telah menarik diri secara senyap daripada rancangannya untuk menubuhkan sebuah parti politik ketiga di Amerika Syarikat (AS), menurut laporan The Wall Street Journal pada Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX yang sejak tahun lalu semakin lantang dalam arena politik termasuk menyokong Presiden AS, Donald Trump pernah mengumumkan pada Julai lalu beliau akan menubuhkan parti America bagi mencabar dominasi dua parti utama negara itu, Demokrat dan Republikan.
Namun, menurut sumber, Musk kini mahu mengelak daripada menjauhkan diri daripada Republikan yang berpengaruh dan lebih mengutamakan perniagaannya berbanding penglibatan politik.
Syarikat-syarikat milik Musk dikatakan terjejas ketika beliau memberi fokus kepada politik, dan beliau turut digesa untuk kembali memberi tumpuan kepada urusan perniagaan dan meninggalkan pentas Washington.
Dalam masa sama, Musk berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Naib Presiden JD Vance, tokoh politik yang semakin meningkat dalam gerakan Make America Great Again (MAGA) pimpinan Trump.
Musk secara peribadi mengakui bahawa meneruskan penubuhan parti baharu boleh menjejaskan hubungan tersebut.
Menurut The Wall Street Journal, Musk turut mempertimbangkan untuk menyumbang dana kepada Vance sekiranya beliau bertanding jawatan presiden pada tahun 2028 selepas Musk membelanjakan hampir AS$300 juta (RM1.26 bilion) untuk menyokong Trump dan calon Republikan pada pilihan raya 2024.
Di bawah Perlembagaan AS, Trump tidak dibenarkan bertanding untuk penggal ketiga, namun beliau secara terbuka pernah menyatakan hasrat untuk mencari jalan agar perkara itu menjadi kenyataan.
Sementara itu, Vance baru-baru ini memberitahu laman konservatif Gateway Pundit bahawa memisahkan diri daripada Trump adalah satu kesilapan.
“Jadi harapan saya menjelang pilihan raya pertengahan 2026, dia (Musk) akan kembali menyertai barisan kita,” katanya.
Puluhan kerusi di Dewan Senat dan Dewan Perwakilan AS dijangka dipertandingkan dalam pilihan raya pertengahan 2026 yang sering dianggap sebagai kayu ukur populariti presiden semasa.
Setakat ini, usaha Musk untuk melancarkan parti America masih tergantung. Pasukannya telah membatalkan perbincangan dengan penganjur pihak ketiga sejak Julai, dan sekutunya menyatakan beliau tidak lagi berhubung dengan tokoh-tokoh utama yang sebelum ini menyokong idea tersebut.


































