PETALING JAYA: Kontinjen Malaysia akan menyertai semua acara yang dipertandingkan di Sukan SEA 2025 di Thailand pada hujung tahun ini termasuk sukan bola baling.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Datuk Pandak Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat lampu hijau untuk menyertai temasya dwitahunan itu.
Katanya, skuad bola baling akan ke Sukan SEA 2025 menerusi Kategori B, iaitu perlu menanggung perbelanjaan sendiri dan hanya dibayar semula jika memenangi pingat.
“Saya telah menghubungi Presiden MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan beliau memaklumkan MAHF telah diterima semula sebagai ahli gabungan badan induk itu dan sedia senaraikan bola baling ke Sukan SEA.
“Bola baling dihantar dalam kategori B. Ini bermakna MAHF kena tanggung perbelanjaan sendiri. Kita tidak mahu tragedi hitam (Sukan Asia Palembang) berulang kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali memaklumkan Malaysia menyertai semua acara sukan di Sukan SEA 2025 kecuali bola baling.
Pada 2021, Setiausaha Agung MOM ketika itu, Datuk Nazifuddin Mohd Najib mengumumkan MAHF dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas gagal menyelesaikan hutang membabitkan perbelanjaan skuad bola baling negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Mengulas lanjut, Pandak berkata, pihaknya akan melakukan persiapan rapi untuk memastikan pasukan yang dihantar ke Thailand dapat membawa pulang pingat untuk kontinjen negara.
“Tuan rumah sememangnya mengharapkan penyertaan Malaysia, saya difahamkan sukan bola baling akan disertai oleh enam negara. Sekarang, tumpuan kita adalah untuk bina pasukan.
“Apa yang penting, kita hantar pasukan yang mampu bersaing dan memberi pulangan dalam bentuk pingat buat Malaysia,” katanya.
Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla akan membabitkan 574 acara keseluruhan dengan pecahan 277 acara lelaki, 240 wanita dan 57 campuran.
Enam jenis sukan, iaitu tenpin boling, angkat berat, wushu, karate, jujitsu dan kabaddi yang digugurkan sebelum ini disenaraikan semula pada Sukan SEA 2025.
Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini menamatkan kempen Sukan SEA 2023 di Kemboja pada kedudukan ketujuh keseluruhan selepas membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.


































