Peter Anthony
PUTRAJAYA: Usaha terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan menggunakan dokumen palsu menemui noktah, apabila Mahkamah Rayuan semalam menolak semakannya.
Menurut Utusan Malaysia, pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Peter sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 4 Mac lalu selepas keputusan tersebut.
Dengan keputusan semalam, sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen yang dikekalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Peter, dengan ini adalah kekal.
Keputusan itu juga menyebabkan kedudukan Peter sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, terbatal.
Peter diwakili peguam-peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk Rosal Azimin Ahmad manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah dan bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, sebulat suara menolak semakan itu selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.
“Kami dapati tiada sebarang kegagalan keadilan kerana P4A telah dihujah secara terperinci di peringkat rayuan terdahulu. Ketiadaan isu ini di dalam penghakiman ringkas panel Mahkamah Rayuan terdahulu juga tidak terjumlah kepada kegagalan keadilan kerana ia telah diulas di dalam alasan penghakiman mahkamah rayuan terdahulu.
“Adalah sukar untuk menganggap bahawa isu ini tidak dipertimbangkan hanya kerana isu ini tidak dinyatakan atau diulaskan dalam penghakiman ringkas panel mahkamah rayuan terdahulu kerana isu ini adalah antara isu utama dihujahkan semasa rayuan.
“Kami mendapati tiada sebarang keadilan menyebabkan (berlakunya) pelanggaran kepada prinsip asas keadilan (breach of natural justice) kerana pemohon (Peter) telah diberikan hak untuk didengar dan tiada sebarang merit kepada permohonan ini,” katanya.
































