SYDNEY: Kerajaan Australia akan menaikkan had pelajar antarabangsa sebanyak sembilan peratus kepada 295,000 tempat bagi 2026, dengan keutamaan diberikan kepada pemohon dari rantau Asia Tenggara.
Menurut Utusan Malaysia, had kemasukan pelajar yang diperkenalkan tahun lalu bertujuan mengawal kadar migrasi yang melonjak dan memberi tekanan kepada harga perumahan.
Pada asalnya, sebanyak 270,000 tempat disediakan untuk 2025, namun tambahan 25,000 tempat akan diberikan pada tahun berikutnya selepas dasar tersebut menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan jumlah pelajar antarabangsa yang dikatakan tidak terkawal.
“Misi kami ialah memastikan pendidikan antarabangsa berkembang secara mampan, memberi manfaat kepada pelajar, universiti dan kepentingan negara,” kata Menteri Pendidikan Jason Clare dalam satu kenyataan.
Pada tahun kewangan 2023, Australia mengeluarkan hampir 600,000 visa pelajar, jumlah tertinggi sejak pandemik Covid-19 dengan pelajar paling ramai datang dari China dan India.
Selain menetapkan had kemasukan, kerajaan turut menggandakan yuran visa pelajar antarabangsa pada 2024 dan berjanji untuk menutup kelonggaran undang-undang yang membolehkan pelajar terus-menerus memanjangkan tempoh tinggal mereka.
Menurut Menteri Pendidikan Antarabangsa, Julian Hill, langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan migrasi kini membuahkan hasil dan membolehkan peningkatan sederhana dalam had kemasukan pada 2026.
“Jumlah pelajar antarabangsa meningkat secara tidak terkawal. Kerajaan telah membuat keputusan sukar sepanjang 12 bulan lalu yang tidak semuanya disukai oleh sektor ini demi menjadikan sistem ini lebih mampan,” kata Hill kepada penyiar nasional ABC.
“Adalah penting bagi masa depan Australia untuk terus menerima pelajar terbaik dari negara jiran Asia Tenggara, supaya mereka membawa sedikit daripada Australia bersama mereka sepanjang hayat,” ujarnya.
Hubungan dengan Asia Tenggara merupakan satu daripada tumpuan utama kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese dalam usahanya mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap China.
Sementara itu, organisasi Universiti Australia menyambut baik keputusan kerajaan yang disifatkan sebagai langkah yang masuk akal.
Australia kini antara negara dengan peratusan pelajar antarabangsa tertinggi di dunia. Pada 2024, sektor ini menyumbang lebih daripada A$51 bilion (RM139.7 bilion) kepada ekonomi, menjadikannya eksport perkhidmatan terbesar negara itu.
































