MADRID: Sebuah pesawat Airbus terpaksa digantung perkhidmatannya selepas mengalami kerosakan besar apabila dirempuh seekor burung ketika berlepas dari sebuah lapangan terbang di Sepanyol, pada Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, penerbangan Iberia IB579, yang berlepas dari Lapangan Terbang Adolfo Suárez Madrid–Barajas menuju ke Paris, terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Madrid selepas dipercayai dilanggar seekor burung besar semasa berlepas.
Foto-foto dari lapangan terbang utama di ibu negara Sepanyol itu menunjukkan bahagian hadapan pesawat dikenali sebagai radome atau ‘hidung’ pesawat mengalami kerosakan teruk dengan bahan pelindung di hadapan tercabut.
Pesawat jenis Airbus A321-253NY itu mengalami kecacatan struktur jelas pada bahagian hadapannya dan dalam salah satu gambar, bangkai burung yang dipercayai menyebabkan insiden itu kelihatan tersepit dalam enjin pesawat.
Data penerbangan daripada FlightRadar24 menunjukkan pesawat tersebut melakukan satu pusingan pendek di ruang udara sekitar Madrid sebelum kembali ke lapangan terbang, dan mendarat lebih sejam selepas ia berlepas.
Insiden ini merupakan satu lagi tamparan buat industri penerbangan minggu ini, susulan beberapa gangguan besar di lapangan terbang utama seperti Heathrow, Gatwick, Manchester, Edinburgh dan Birmingham yang terpaksa menghentikan sementara operasi penerbangan menyebabkan ribuan penumpang terkandas di landasan.
Gangguan tersebut berpunca daripada isu teknikal di pusat kawalan trafik udara NATS Swanwick yang telah menyebabkan semua penerbangan dari London tergendala, mencetuskan kekacauan besar dalam jadual perjalanan udara.
Ribuan penumpang yang dalam perjalanan untuk bercuti musim panas meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.
Sebahagian penumpang berkongsi gambar dari tingkap pesawat yang masih berada di landasan, manakala yang lain memberitahu Daily Mail bahawa penerbangan mereka telah dilencong ke Brussels, Belgium.
Dalam satu kenyataan, NATS memaklumkan bahawa sistem yang terjejas telah berjaya dipulihkan dan operasi kini sedang kembali pulih secara berperingkat


































