Dr Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Sistem penarafan nutrien bakal diperkenalkan dalam masa terdekat bagi mengklasifikasikan makanan berdasarkan tahap kesihatannya.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bertujuan sebagai langkah proaktif meningkatkan kesedaran awam terhadap pemakanan sihat.
Katanya, melalui sistem ini juga, makanan akan dikategorikan kepada gred tertentu, antaranya gred A untuk makanan sihat dan gred B bagi makanan tidak sihat yang tidak dibenarkan untuk diiklankan.
“Apabila kita perkenalkan sistem gred makanan akan dikotakkan mengikut kategori tertentu. Yang gred A adalah the best (yang terbaik) manakala gred B langsung tidak boleh diiklankan.
“Dalam semangat itu juga, makanan yang tidak sihat akan dikotakkan secara jelas sebagai unhealthy (tidak sihat). Ini penting supaya masyarakat tahu ia tidak sepatutnya disentuh, apatah lagi dimakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Pemakanan Sihat Tanggungjawab Bersama di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pihaknya juga akan mengadakan libat urus dengan golongan pempengaruh media sosial supaya mereka dapat memainkan peranan mendidik masyarakat ke arah amalan pemakanan sihat.
Beliau berkata, pempengaruh media sosial berupaya memainkan peranan menggalakkan masyarakat berubah kepada amalan pemakanan lebih baik.
“Pempengaruh boleh berperanan dalam dua cara secara positif dan negatif. Kita mahu mereka angkat agenda kesihatan makanan dan amalan hidup sihat secara serius.
“Kita akan ambil pendekatan untuk libat urus dengan pempengaruh supaya mereka boleh membawa mesej kesihatan ini secara lebih berkesan,” katanya.


































