PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Sabah menahan dua warga Filipina selepas dikesan cuba memasuki Sabah secara tidak sah di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, AKPS dalam kenyataan berkata, kedua-dua invidu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 27 tahun itu dikesan memasuki Sabah secara tidak sah oleh pihak berkuasa yang tiba melalui penerbangan antarabangsa.
Katanya, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua individu terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat asing ke negara ini apabila mereka cuba memasuki Sabah melalui Pelabuhan Sandakan pada 31 Julai lalu.
“Bagaimanapun, kemasukan mereka ditolak serta dikeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) sebelum cuba memasuki Sabah semula melalui LTAKK hari dengan menaiki pesawat
Z2 501 dari Manila.
“Kedua-dua mereka dibawa ke Pejabat Operasi Imigresen untuk menjalani saringan dan semakan dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut telah menggunakan modus operandi yang sama iaitu cubaan memasuki Sabah melalui pintu masuk udara selepas ditolak kemasukan melalui pintu masuk laut.
Jelasnya, antara alasan penolakan kemasukan mereka adalah kerana telah dikeluarkan NPM oleh Pejabat Imigresen Pelabuhan Sandakan dan tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan ke Sabah.
“Berdasarkan hasil pemeriksaan dokumen perjalanan, kedua-dua individu berkenaan telah dikeluarkan semula NPM dan diserahkan kepada pihak syarikat penerbangan untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal.
“Pihak AKPS menyeru agar semua warga asing yang berhasrat melancong ke Malaysia mematuhi segala peraturan dan syarat kemasukan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa ketibaan,” katanya.
Tambahnya, cubaan kemasukan tidak sah tersebut telah berjaya digagalkan hasil kecekapan dan
pemantauan rapi oleh AKPS.
“Usaha pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan sempadan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Langkah-langkah penguatkuasaan juga akan terus dilaksanakan secara berkala sebagai strategi proaktif dalam menangani ancaman sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan kemudahan pas lawatan sosial,” ujarnya.


































