LONDON: Ribut Floris yang luar biasa kuat melanda United Kingdom (UK), menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan pengangkutan di Scotland dan utara England apabila angin kencang memaksa pembatalan perkhidmatan tren, pokok tumbang dan menjejaskan bekalan elektrik.
Menurut Utusan Malaysia, kelajuan angin di utara Scotland mencecah 132 kilometer sejam, tertinggi pernah direkodkan pada bulan Ogos.
Amaran angin tahap kedua paling serius iaitu amaran jingga, dikeluarkan di hampir seluruh kawasan Scotland dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kerosakan.
“Ribut Floris adalah ribut yang luar biasa kuat bagi waktu ini dalam setahun.
“Ini merupakan kali ketiga amaran angin tahap jingga dikeluarkan pada bulan Ogos sejak sistem diperkenalkan pada 2011, dengan beberapa tiupan angin di Scotland dijangka mencatat rekod baharu,” jelas kenyataan Pejabat Meteorologi UK (Met Office).
Beberapa pengendali perkhidmatan tren di utara England dan Scotland membatalkan perjalanan serta menggesa penumpang agar tidak meneruskan perjalanan mereka.
Menurut Network Rail Scotland, sebatang pokok tumbang di atas kabel elektrik landasan di Glasgow, menyebabkan kebakaran kecil.
Insiden pokok tumbang turut dilaporkan di kawasan timur laut Aberdeenshire, menghalang laluan jalan raya.
Tiupan angin berkelajuan taufan juga menyebabkan rumah karavan terbalik dan kawasan persisiran pantai dibadai ombak besar.
Ribut itu turut menyebabkan lebih 12 ekor lembu berkeliaran di kawasan Carfin, Scotland, selepas pagar kandang mereka runtuh akibat dipukul angin kencang.
Sementara itu, puluhan penerbangan terpaksa dibatalkan, khususnya dari Lapangan Terbang Aberdeen di timur laut negara itu.
Di ibu negara Scotland, angin kencang turut memaksa perarakan Royal Edinburgh Military Tattoo dibatalkan dan Zoo Edinburgh ditutup sepanjang hari.
Istana Balmoral, kediaman musim panas Keluarga Diraja Britain di utara Scotland juga ditutup kepada pelawat.
Menurut Scottish and Southern Electricity Networks, sekitar 22,500 rumah dilaporkan terputus bekalan elektrik pada sebelah petang.
Ribut Floris merupakan ribut kedua yang dinamakan tahun ini dan yang keenam bagi musim ribut semasa, yang membadai dari awal September 2024 hingga hujung Ogos 2025.
Pakar iklim menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia kini mendorong kejadian cuaca ekstrem menjadi lebih kerap dan lebih ganas di seluruh dunia, selari dengan pemanasan global.
































