Fadhlina Sidek
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan bawah kendaliannya untuk menangguhkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas, susulan gelombang haba luar biasa yang kini melanda enam lokasi di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga institusi pendidikan, lebih-lebih lagi ketika berdepan suhu melampau antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan telah diminta melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang wajar untuk mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas.
“Pihak sekolah dan institusi pendidikan lain juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas,” katanya di sini semalam.
Fadhlina berkata, antara langkah lain yang digariskan ialah menangguhkan sebarang aktiviti murid yang terdedah kepada haba.
Katanya, bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM perlu dipastikan dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
“Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” katanya.
Pada masa sama, Fadhlina menyeru institusi pendidikan bekerjasama dengan klinik atau hospital berhampiran jika berlaku komplikasi akibat cuaca panas.
Semua institusi pendidikan diingatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan ditetapkan dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa melalui saluran media serta saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Ini penting bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga institusi pendidikan di negara ini,” katanya.
Terdahulu, enam lokasi di negara ini dikenal pasti mengalami gelombang haba luar biasa, dengan suhu mencecah tahap membimbangkan selama beberapa hari berturut-turut, dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan itu berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara hingga pertengahan Oktober ini.
Setakat ini, terdapat tiga daerah di Semenanjung membabitkan Bandar Baharu di Kedah, Selama (Perak) dan Temerloh (Pahang).
“Bagi wilayah Malaysia Timur, Limbang di Sarawak serta Tenom dan Pitas di Sabah turut merekodkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius,” katanya.
Sebanyak 3,300 telaga tiub tersedia di kawasan berisiko sebagai langkah awal bagi mengelakkan daripada berlakunya kebakaran hutan akibat cuaca panas melampau.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah diarah melakukan kerja pembersihan dan bersiap sedia melaksanakan operasi jika keadaan memerlukan.
Fasa Monsun Barat Daya dijangka berakhir pertengahan Oktober dan sepanjang tempoh itu, pelbagai agensi berkaitan akan mengeluarkan nasihat dan panduan kepada orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar rumah.
































