Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut memerlukan penelitian menyeluruh melibatkan aspek perundangan, industri, hasil kerajaan serta pelesenan.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran telah diadakan pada 22 Julai lalu. Susulan itu, kami akan mengadakan perbincangan dengan empat kementerian utama iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN–Pokok Sena) di Dewan Rakyat, hari ini berhubung pendirian kerajaan terhadap tindakan beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan vape.
Dalam pada itu, Dzulkefly menyambut baik langkah enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang memutuskan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape.
“Tindakan ini selaras dengan aspirasi kesihatan awam dan bidang kuasa perlesenan premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun kawalan ini masih terhad kerana ia tidak merangkumi semua jenis premis termasuk kedai serbaneka,” katanya.
Tambah beliau, isu kawalan vape merupakan perkara penting melibatkan kesihatan awam, perlindungan terhadap remaja dan kanak-kanak serta dasar kawal selia negara.
Katanya, tumpuan kementerian kini terarah kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan ketat melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Antara peruntukan yang dikuatkuasakan termasuk pendaftaran produk rokok dan vape, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, larangan jual beli kepada individu bawah umur serta kawalan lokasi penjualan termasuk larangan penjualan dalam talian di institusi pendidikan dan melalui mesin layan diri.
“Tindakan penguatkuasaan juga terus dipertingkatkan, antaranya kompaun sebanyak RM20,000 dikenakan ke atas seorang pengedar di Kinta, Perak atas kesalahan iklan dan RM30,000 ke atas pengedar di Titiwangsa kerana menjual secara dalam talian,” ujarnya.
Dzulkefly berkata, sejak Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 hingga 30 Jun lalu, sebanyak 15,775 operasi dilaksanakan termasuk 78,424 notis kesalahan dikeluarkan dan 524 kertas siasatan dibuka.
“Jumlah produk vape dalam pasaran turut menyusut. Jika sebelum ini terdapat lebih 3,200 jenama dan 6,800 varian, kini hanya 390 jenama (12 peratus) dan 2,794 varian (41 peratus) yang didaftarkan,” katanya.
































