Seorang tukang sapu wanita membersihkan kawasan jalan sambil membawa bersama anak lelakinya yang kurang upaya berhampiran tarikan pelancong terkenal di Xi’an, wilayah Shaanxi.
XIAN: Seorang tukang sapu jalanan di China meraih perhatian meluas di media sosial selepas tular video beliau mengikat tangan anak lelakinya yang mengalami kecacatan mental dengan seutas tali sambil menjalankan tugas pembersihan di kawasan pelancongan terkenal di bandar Xian.
Menurut Utusan Malaysia, stesen TV Fujian melaporkan, kemasyhuran mendadak itu bagaimanapun mengganggu kehidupan harian wanita berkenaan apabila pempengaruh media sosial mula memburunya untuk merakam video dan bertanyakan jumlah sumbangan yang diterima.
Dalam rakaman asal yang dibuat seorang pejalan kaki, wanita berkenaan dilihat memegang penyapu di sebelah tangan sambil sebelah lagi diikat pada tangan anaknya.
“Ini adalah seorang ibu dan anak. Sebelah tangan memegang penyapu untuk mencari rezeki, sebelah lagi memegang anak yang dikasihi,” tulis kapsyen video tersebut.
Identiti wanita itu tidak didedahkan, namun menurut seorang kenalan yang hanya dikenali sebagai Wang, wanita berkenaan berusia dalam lingkungan 50-an, manakala anak lelakinya yang berusia 30-an mengalami kecacatan mental.
“Dia terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja kerana tidak mampu mengupah penjaga.
“Tali yang diikat itu bertujuan menjaga keselamatan anaknya agar tidak melintas jalan secara tiba-tiba atau melanggar pejalan kaki lain,” jelas Wang kepada media tempatan.
Tambah Wang lagi, sejak video itu tular, ramai pihak menghampiri wanita tersebut untuk bertanya mengenai sumbangan yang diterimanya, sehingga dia kini mempertimbangkan untuk menukar pekerjaan bagi mengelakkan gangguan yang berterusan.
Menurut wakil Kumpulan Kebersihan Alam Sekitar Daerah Lianhu, tempat wanita tersebut bekerja sejak dua tahun lalu, dia hanyalah seorang pekerja barisan hadapan biasa yang tidak pernah meminta bantuan awam dengan menggunakan keadaan anaknya.
“Kami memberi elaun harian sebanyak 25 yuan (RM14.70) kepada pekerja pembersihan ketika musim panas serta bantuan seperti beras dan minyak masak kepada keluarga kurang berkemampuan sempena perayaan tradisional,” kata wakil tersebut yang enggan dinamakan.
Jelasnya lagi, wanita itu kini sedang memohon untuk dipindahkan ke bahagian lain disebabkan gangguan berterusan daripada pengguna media sosial yang mahu menemuinya secara langsung.
Insiden menyayat hati ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di China dan ramai yang menzahirkan simpati terhadap wanita tersebut dan menggesa orang ramai agar tidak terus mengganggu kehidupannya.
































