Tangkap layar video menunjukkan anak harimau bintang salji pertama dilahirkan di Zoo Chester di UK.
LONDON: Zoo Chester mengumumkan kelahiran anak harimau bintang salji pertama, detik bersejarah dalam tempoh 94 tahun penubuhannya.
Menurut Utusan Malaysia, anak harimau salji yang jarang ditemui itu dilahirkan pada Selasa, 10 Jun 2025 daripada pasangan induk Nubra dan Yashin yang masing-masing berusia tiga tahun.
Anak harimau itu dan ibunya ditempatkan bersama di dalam sebuah kandang yang selesa, dengan setiap detik awal pergerakannya dirakam menerusi kamera tersembunyi.
Kelahiran ini merupakan sebahagian daripada program pembiakan antarabangsa yang bertujuan melindungi spesies terancam itu, yang kini berdepan ancaman kehilangan habitat dan pemburuan haram.
“Penjaga zoo sentiasa memantau rapat perkembangan ‘keluarga baharu’ ini melalui kamera dan memerhatikan hubungan erat antara ibu dan anak.
“Buat masa ini, kedua-duanya masih belum dipertontonkan kepada umum bagi memastikan anak harimau itu mendapat permulaan hidup yang terbaik, namun dijangka akan mula meneroka habitat luar mereka dalam beberapa minggu akan datang,” jelas zoo itu.
Dianggarkan hanya sekitar 4,000 ekor harimau bintang salji yang masih hidup di habitat semula jadi dan kelahiran ini membawa harapan baharu terhadap kelangsungan spesies tersebut.
































