PEKANBARU: Kebakaran hutan dan tanah di wilayah Riau dijangka semakin memburuk apabila pihak berkuasa mengesahkan musim kemarau yang memuncak boleh menyebabkan risiko kebakaran berlarutan sehingga awal Ogos.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati, memaklumkan ketika ini terdapat 135 titik panas di seluruh Riau, terutamanya di daerah Pelalawan dan Rokan Hilir.
BMKG meramalkan tahap kemudahan terbakar akan kekal tinggi hingga akhir Julai dan meningkat semula antara 29 hingga 31 Julai 2025.
“Kami menjangkakan kebakaran ini tidak akan reda dalam masa terdekat kerana curahan hujan sangat rendah iaitu kurang dari 20 milimeter dan keadaan atmosfera kini sangat kering serta berangin.
“Situasi ini sangat ideal untuk api merebak dengan pantas, terutama di kawasan gambut,” katanya dalam satu mesyuarat koordinasi Jumaat.
Susulan situasi tersebut, Gabenor Riau, Abdul Wahid mengisytiharkan status darurat manakala BMKG dan BNPB melaksanakan Operasi Modifikasi Cuaca (OMC) sejak 21 Julai lalu bagi menghasilkan hujan buatan untuk melembapkan tanah dan mengawal penyebaran api.
Menurut Tri Handoko Seto, Timbalan Ketua Bidang Modifikasi Cuaca BMKG, sebanyak 15.6 tan bahan semai digunakan dalam 17 sorti penyemaian awan, dengan sasaran utama kawasan gambut yang mudah terbakar.
Beliau berkata, operasi akan diteruskan sepanjang minggu ini dan kemungkinan dilanjutkan ke awal Ogos.
BNPB turut mengerahkan 2 pesawat penyemaian awan, lima helikopter water bombing, dan ratusan pasukan darat termasuk anggota TNI dan Polri ke kawasan-kawasan panas seperti Rokan Hulu dan Rokan Hilir.
Menteri Kehutanan, Raja Juli Antoni, menegaskan langkah pantas amat diperlukan untuk mengelakkan asap kebakaran merentasi ke negara jiran, sekaligus mencetuskan ketegangan diplomatik serantau.
“Dua hingga tiga hari akan datang sangat kritikal.
“Jika kita gagal mengawal api dalam tempoh ini, jerebu akan semakin tersebar ke luar negara dan menimbulkan kecaman di peringkat ASEAN,” katanya.


































