LOS ANGELES: Jutawan terkenal, Elon Musk kini memperkenalkan restoran pertamanya, Tesla Diner yang menggabungkan konsep restoran klasik Amerika, pawagam pandu masuk dan pusat pengecasan kenderaan elektrik
Terletak di Santa Monica Boulevard, Barat Hollywood, restoran itu digambarkan sebagai pengalaman ‘retro-futuristik’ yang membawakan sentuhan era 1950-an dengan kemudahan teknologi moden.
Menurut Utusan Malaysia, ia turut menempatkan stesen pengecasan Supercharger urban terbesar di dunia, dengan 80 unit pengecas generasi keempat (V4) dan kanopi solar yang mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 26.6 juta paun setahun.
“Tesla Diner ialah stesen pengecasan, restoran klasik dan pawagam pandu masuk dalam satu lokasi, sesuai untuk pemandu Tesla dan juga bukan Tesla,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.
Restoran dua tingkat itu mampu menampung lebih 250 pelanggan pada satu-satu masa, dengan aras bawah menempatkan kawasan hidangan utama, manakala aras atas dinamakan ‘Skypad’ bagi membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Los Angeles atau menonton filem menerusi dua skrin LED gergasi berukuran 66 kaki yang dipasang di luar.
Restoran ini juga dibuka 24 jam sehari, membolehkan pelanggan membuat pesanan melalui skrin sesentuh kenderaan Tesla mereka atau secara langsung di kaunter manakala menu Tesla Diner dibahagikan kepada enam kategori utama iaitu sarapan, burger & sandwic, menu kanak-kanak, makanan sampingan, pencuci mulut dan minuman.
Antara menu yang ditawarkan termasuk Sandwic Telur, Taco Sarapan, dan Biskut bersama Kuah Daging Merah sementara bagi pencinta burger, pilihan seperti Tesla Burger, Tuna Melt dan Hot Dog menanti untuk dicuba manakala bagi Kanak-kanak pula boleh menikmati Grilled Cheese, Burger Kanak-kanak, atau Combo Ayam Goreng yang disajikan dalam kotak bertemakan CyberTruck.
Pengunjung juga boleh memilih untuk tidak makan, sebaliknya bersantai dan menonton filem dari dalam kereta masing-masing menggunakan aplikasi Tesla Diner, atau dari aras Skypad.
Sebelum pulang, pelanggan boleh membeli cenderamata eksklusif di kedai Tesla Diner, termasuk figura aksi Tesla Bot, baju-T Retro Hollywood, gula-gula Tesla dan topi ‘trucker’ Tesla Diner.
Walaupun baru sahaja dibuka semalam, lokasi tersebut sudah menarik perhatian meluas di media sosial, dengan ramai netizen menyifatkannya sebagai antara destinasi paling menarik di Los Angeles ketika ini.
Namun tidak semua pihak teruja dengan pembukaan restoran itu kerana terdapat beberapa pengguna X meluahkan rasa kecewa terhadap impak projek tersebut kepada penduduk tempatan.


































