Mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk memproses pasport palsu.
KUALA LUMPUR: Sebuah unit apartmen di Kepong di sini yang dijadikan tempat ‘memproses’ pasport palsu digempur Jabatan Imigresen Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kegiatan sindiket itu terbongkar menerusi Op Serkap dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuala Lumpur melalui hasil maklumat dan risikan.
Dalam serbuan terbabit, ratusan naskah pasport sedang diproses ditemukan di dalam kediaman tiga bilik itu.
Ketika serbuan, terdapat dua lelaki Bangladesh berusia lingkungan 20-an dipercayai ahli sindiket berkenaan sedang leka memproses pasport palsu di dalam sebuah bilik di unit yang terletak di tingkat sembilan itu.
Selain pasport disyaki palsu, turut ditemukan adalah sejumlah dokumen berkaitan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang diperlukan buat buruh asing untuk bekerja di Malaysia.
Difahamkan, sindiket berkenaan mengenakan caj berjumlah RM400 bagi setiap pasport palsu itu.
Suspek mendakwa mampu menyiapkan senaskah pasport palsu hanya dalam masa kira-kira 10 minit.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan hasil risikan selama satu bulan mendapati modus operandi sindiket dengan menyediakan dokumen perjalanan (pasport) palsu bagi memperdaya pihak klinik untuk mendapatkan laporan FOMEMA.
“Sindiket akan menggunakan butiran peribadi individu berstatus ‘fit’ dan menukar wajah pada pasport kepada individu berstatus ‘unfit’ bertujuan menipu laporan darah dan X-Ray.
“Warga asing terbabit kemudian akan menggunakan laporan FOMEMA berkenaan untuk tujuan permohonan melanjutkan tempoh pas masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati keseluruhan transaksi antara pelanggan dan ejen dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp dan tempahan disalurkan kepada dua suspek terbabit yang ditahan pemprosesan.
Jelas beliau, bayaran dibuat menerusi satu akaun bank disyaki dipercayai pemiliknya berpangkalan di Bangladesh.
“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya warga asing yang bersubahat melakukan aktiviti jenayah itu,” ujarnya.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63,” katanya.































