Peter Cklamovski
PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa pintu ke skuad kebangsaan sentiasa terbuka kepada mana-mana pemain Malaysia sama ada tempatan, warisan mahupun naturalisasi, asalkan mereka menunjukkan kualiti terbaik di atas padang.
Menurut Utusan Malaysia, Cklamovski berkata beliau tidak sesekali memandang nama, status atau populariti, perkara paling penting bagi jurulatih kelahiran Australia itu adalah kualiti, prestasi dan kemampuan sebenar pemain untuk membantu pasukan negara mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, beliau mahu memastikan hanya pemain yang benar-benar layak sahaja dipanggil mewakili negara, dan setiap panggilan mesti berdasarkan standard profesional yang tinggi.
“Dari mana pun pemain itu datang, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Sabah, TFC atau luar negara, itu kerja saya untuk memilih pemain yang terbaik bagi membentuk skuad yang terbaik.
“Itu objektif saya dan saya akan teruskan buat seperti itu,” kata Cklamovksi.
Menurut beliau, setiap pemain yang dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya perlu hadir dengan satu mentaliti iaitu memberikan segala-galanya untuk negara.
Jelasnya, prestasi di peringkat kelab bukan hanya penting sebagai penanda aras, tetapi juga sebagai kayu ukur kesinambungan prestasi ketika bersama skuad kebangsaan.
“Semua pemain yang datang ke skuad kebangsaan faham apa yang dimahukan. Mereka tahu apa tuntutan dan tahap yang diperlukan apabila berada dalam kem latihan pusat.
“Semua pemain tahu apa yang mereka patut buat dan saya mahu mereka teruskan prestasi itu di peringkat kelab. Itu yang penting buat kami di skuad kebangsaan.
“Mereka juga perlu sentiasa berada di tahap terbaik supaya kita dapat tunjukkan permainan yang boleh membanggakan semua penyokong,” katanya.
Kenyataan ini jelas menggambarkan bahawa era ‘cukup syarat’ dalam pemilihan pemain kebangsaan sudah berakhir dan ia memberi isyarat jelas kepada semua pemain bahawa jika mahu sarung jersi Harimau Malaya, buktikan anda layak.
































