BUENOS AIRES (Bernama-dpa): Ketibaan terakhir di kem latihan, sesi latihan terakhir bersama pasukan, perlawanan terakhir dengan jersi Albiceleste: Argentina bersiap sedia untuk aksi terakhir Lionel Messi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perpisahannya selepas 21 tahun bersama pasukan kebangsaan akan berlangsung pada Selasa menerusi perlawanan persahabatan menentang Benin di Buenos Aires.
Dan sesiapa yang masih mengingati perpisahan penuh air mata beliau dengan kelab kesayangannya, Barcelona, pada 2021 pasti dapat membayangkan betapa emosinya perpisahan Messi di Argentina, nanti.
“Sejak saat dia melangkah ke padang di Monumental, ia akan menjadi hari yang tidak akan dilupakan oleh semua orang,” kata Jurulatih Argentina Lionel Scaloni.
Messi mengumumkan pada Ogos bahawa beliau akan bersara daripada pasukan kebangsaan tahun ini.
“Ia keputusan yang sangat melukakan hati saya dan ia masih menyakitkan, tetapi saya faham bahawa sudah tiba masanya,” kata pemain berusia 39 tahun itu ketika itu.
Kekalahan pada final Piala Dunia dan bersamanya impian untuk mempertahankan kejuaraan yang musnah – diikuti kematian bapanya, Jorge, pada usia hanya 68 tahun, menyebabkan bintang bola sepak itu termenung dan mendorongnya mengambil keputusan besar berkenaan.
Tidak seperti ketika beliau mula bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2016, selepas sekali lagi tewas pada final kejohanan utama, kali ini ia benar-benar akan menjadi penamat.
“Ada rasa sedih kerana dia tidak akan berada bersama kami lagi. Dan bukan hanya dari sudut bola sepak,” kata Scaloni, yang kisah kejayaannya begitu rapat berkait dengan Messi.
Messi dan Scaloni berada dalam skuad Piala Dunia yang sama sebagai pemain pada 2006. Scaloni menamatkan kariernya sebagai pemain pada 2015.
Sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2018, Scaloni berjaya membina sebuah pasukan di sekeliling Messi yang memenangi Copa América pada 2021 dan 2024, kejuaraan Piala Dunia pada 2022, serta mara ke final Piala Dunia sekali lagi pada 2026.
“Pasukan kebangsaan Argentina akan terus wujud. Tetapi kami akan merinduinya,” kata jurulatih itu.
Pasukan ini akan merindui Messi. Beliau ialah pemimpin mereka, namun pada masa yang sama sebahagian daripada mereka. Rakan sepasukannya ialah peminat dan pelindungnya.
Dan negara bola sepak yang suatu ketika dahulu memuja Diego Maradona turut jatuh cinta kepada Messi.
Selepas menutup lembarannya bersama pasukan kebangsaan, Messi masih mempunyai kontrak dengan Inter Miami sehingga akhir 2028.
Selepas itu, beliau dijangka meninggalkan dunia bola sepak.
Ketika era baharu bermula buat peminat Argentina yang masih belum tahu sama ada Scaloni akan melanjutkan kontraknya yang tamat pada penghujung tahun ini Messi sudah lama memulakan fasa seterusnya dalam kehidupannya.
Portfolio beliau merangkumi sebuah empayar kecil: rangkaian hotel, hartanah dan dua kelab bola sepak Sepanyol. — BERNAMA-dpa
































