Ija Nizaruddin
MUAR: Pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang didakwa hilang sejak Isnin lalu, tampil menyerah diri di Balai Polis Muar hari ini, selepas melarikan diri ke negara jiran.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, laporan kehilangan lelaki itu meragukan dan percaya ia telah direka untuk kepentingan peribadi.
Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi.
“Siasatan mendedahkan, mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Muar sebelum melarikan diri ke negara jiran.
“Adik mangsa mengesahkan bahawa dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengaburi siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raiz, kedua-dua individu terbabit telah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
“Membuat laporan palsu satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan tugasan serta sumber kepolisan, yang seharusnya ditumpukan kepada kes-kes sebenar dan kecemasan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan sistem laporan polis untuk tujuan peribadi atau jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pada 15 Julai 2025, adik mangsa, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, telah membuat laporan polis di Balai Polis Lenga berkenaan kehilangan abangnya.
Mangsa didakwa hilang ketika dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.
Susulan itu, polis telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat selama empat hari membabitkan 77 pegawai dan anggota.
Operasi merangkumi pencarian melalui darat, air dan udara menggunakan pelbagai aset dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.


































