WASHINGTON: Ketika Amerika Syarikat (AS) meraikan ulang tahun ke-59 pendaratan Apollo 11 di bulan, dua klip lama membabitkan angkasawan legenda, Buzz Aldrin, kembali tular dan menghidupkan semula teori konspirasi misi itu mungkin sebenarnya tidak pernah berlaku.
Menurut Utusan Malaysia, Aldrin, yang merupakan manusia kedua menjejakkan kaki ke permukaan bulan selepas Neil Armstrong, sudah puluhan tahun menceritakan tentang pengalamannya di bulan namun, wawancara lama beliau kini kembali mencuri perhatian, dengan sesetengah pihak mendakwa beliau secara tidak sengaja mengakui AS sebenarnya tidak pernah sampai ke bulan.
Wawancara lama tersebut dari rancangan Conan O’Brien Show pada tahun 2000, apabila hos rancangan itu, Conan O’Brien, berkongsi pengalaman menonton siaran langsung pendaratan di bulan sewaktu zaman kanak-kanaknya namun, Aldrin dengan pantas menyatakan tiada televisyen ketika itu, serta tiada sesiapa pun yang merakam gambar.
Jawapan itu menyebabkan suasana menjadi janggal dan membuat O’Brien terdiam, sementara rakaman tersebut kini meraih jutaan tontonan di media sosial.
Bagaimanapun, NASA tetap berpegang teguh misi Apollo 11 benar-benar berlaku di mana agensi angkasa itu menegaskan pendaratan bersejarah tersebut disokong oleh data telemetri, sampel batuan bulan, serta ribuan testimoni jurutera, saintis dan angkasawan yang terlibat dalam program itu.
Misi Apollo 11 dilancarkan pada 16 Julai 1969 dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida di mana tiga angkasawan terlibat ialah Komander Neil Armstrong, 38; Juruterbang Modul Bulan, Buzz Aldrin, 39; dan Juruterbang Modul Kawalan, Michael Collins, 38, yang kekal berada di orbit ketika Armstrong dan Aldrin mendarat di bulan.
Momen itu disiarkan ke seluruh dunia dan ditonton oleh kira-kira 600 juta orang namun, sejak dekad 1970-an, selepas skandal Watergate dan pendedahan Kertas Pentagon, muncul keraguan awam tentang kesahihan pendaratan tersebut termasuk isu pencahayaan, teori tentang set lakonan, serta wawancara-wawancara mencurigakan terus menjadi perdebatan.
NASA beberapa kali menolak teori tersebut, dengan menyatakan semua bukti saintifik mengesahkan misi berkenaan benar-benar berlaku.
Bagi klip wawancara dengan Conan O’Brien, kenyataan Aldrin tentang ‘animasi’ sebenarnya merujuk kepada penggunaan grafik dan ilustrasi yang disiarkan oleh stesen televisyen ketika itu untuk membantu penonton memahami proses pendaratan, memandangkan siaran secara langsung dari bulan ketika itu terhad kepada audio dan beberapa visual tertentu.
































