LONDON: Tidak kira berapa banyak rawatan kecantikan yang dilakukan, daripada suntikan Botox sehinggalah kepada rawatan kulit mahal namun bagi generasi muda seperti Gen Z, seseorang itu boleh dianggap tua apabila mencecah umur 35 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, itu merupakan hasil dapatan satu tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh EduBirdie melibatkan 2,000 responden daripada golongan Gen Z serta milenial muda untuk menentukan bilakah sebenarnya usia tua bermula.
Keputusan mendedahkan lebih satu per lima atau 22 peratus Gen Z menganggap usia 35 tahun termasuk dalam kategori tersebut.
Perkara itu mungkin dianggap mengejutkan memandangkan ramai selebriti terkenal dunia seperti Taylor Swift, Emma Watson, dan Daniel Radcliffe kini berada pada usia tersebut.
Golongan milenial pula mempunyai pandangan berbeza apabila seramai 35 peratus daripada mereka menganggap umur 40 tahun barulah seseorang itu dianggap memasuki usia tua.
Antara selebriti yang kini berusia 40 tahun ialah Cristiano Ronaldo, Katy Perry dan LeBron James.
“Golongan milenial masih jauh daripada persaraan, dan Gen Z pula baru sahaja melangkah ke alam dewasa.
“Namun, ramai di antara mereka sudah merasakan usia tua semakin dekat,” kata kenyataan EduBirdie.
Walaupun ahli Gen Z paling tua baru mencecah usia 28 tahun, terdapat tiga peratus daripada mereka yang berpendapat umur 27 tahun pun sudah dianggap tua termasuklah selebriti seperti Kylie Jenner, JungKook dan Central Cee.
Sebanyak enam peratus Gen Z pula menganggap usia tua bermula pada umur 30 tahun, melibatkan bintang seperti Logan Paul, Megan Thee Stallion dan Post Malone.
Sementara itu, 13 peratus menganggap usia 35 adalah usia tua, 26 peratus berpendapat ia bermula pada umur 40, manakala 21 peratus menyatakan 50 tahun sebagai usia tua namun, 31 peratus
Gen Z tetap menganggap 60 tahun ke atas sebagai benar-benar berusia sebaliknya, 41 peratus milenial menyatakan seseorang masih dianggap muda sehingga umur 60 tahun.
Kajian ini turut dibuat selepas satu kajian berasingan oleh Universiti Humboldt, Berlin mendapati persepsi tentang usia tua kini sudah berubah.
Menurut penyelidik Markus Wettstein, kebanyakan warga emas zaman sekarang percaya usia tua bermula pada umur 74 tahun ke atas jauh berbeza berbanding zaman dahulu.


































