PETALING JAYA: Sebanyak 35 stesen udara di 13 negeri di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, kualiti udara di seluruh negara kekal terkawal setakat pukul 10.30 pagi ini dengan tiada stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat atau lebih teruk.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS), 35 stesen terlibat merekodkan bacaan sederhana (51-100) manakala sembilan stesen berada dalam kategori baik (0-50).
Antara lokasi dengan bacaan IPU sederhana tertinggi adalah Port Dickson, Negeri Sembilan (99); Johan Setia, Selangor (97) dan Kota Bharu, Kelantan (83).
Tiada stesen yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) atau berbahaya (melebihi 300), lantas menunjukkan kualiti udara masih selamat untuk aktiviti harian orang awam.
Sebelum ini dilaporkan, sekurang-kurangnya tujuh hektar tanah musnah dalam kejadian kebakaran hutan di Pulau Sumatera, Indonesia hujung minggu lalu dengan insiden dilaporkan di wilayah Sumatera Barat dan Aceh, menurut agensi bencana negara, Isnin lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Tempatan (BPBD) memaklumkan, satu kebakaran berlaku di daerah Lima Puluh Kota, Sumatera Barat pada Ahad di Jorong Sarasah Tanggo, Nagari Sarilamak, kecamatan Harau, membakar kira-kira empat hektar tanah.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Rata-rata pengguna media sosial terutama di platform X turut membincangkan mengenai perkembangan ini khususnya selepas laporan mengenai kebakaran hutan di Sumatera tular sejak awal minggu ini.
Beberapa pengguna mengaitkan peningkatan bacaan IPU sederhana di beberapa kawasan di Semenanjung dengan kejadian tersebut.
Kebanyakan pengguna berkongsi gambar dan video suasana berjerebu di kawasan masing-masing serta mengingatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dan mengehadkan aktiviti luar rumah terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas.


































