Mohd Shamsor Mohd Zain pembentangan prestasi pengeluaran dan jualan kenderaan baharu Januari hingga Jun 2025 di Menara Ken TTDI, di sini, semalam.
KUALA LUMPUR: Harga kenderaan dijangka naik sehingga 30 peratus tahun depan, susulan penguatkuasaan peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019 yang dijadualkan bermula pada 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut berhubung pembaharuan pengenaan cukai tersebut daripada Kementerian Kewangan (MOF).
“Secara asasnya, ia akan dilaksanakan, namun terdapat indikasi bahawa ada kaedah atau cara baharu yang bakal diumumkan kepada kami supaya impak daripada pelaksanaannya dapat diminimumkan.
“Jadi, kami masih menanti supaya perbincangan diadakan, harapnya tidak lama lagi.
“Jika kesan daripada peraturan baharu ini dikira menggunakan format lama, memang akan ada kesan peningkatan harga sebanyak 10 hingga 30 peratus terhadap harga (kenderaan) atas jalan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan prestasi pengeluaran dan jualan kenderaan baharu Januari hingga Jun 2025 di sini.
MOF pada Februari lalu menafikan laporan media yang mendakwa harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat secara signifikan bermula 2026 susulan pelaksanaan sepenuhnya peraturan cukai eksais baharu di bawah P.U.(A) 402/2019.
Sebelum ini, MOF menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak tepat, sambil menjelaskan belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung pelaksanaan peraturan tersebut.
Pada masa sama, Mohd. Shamsor mengakui masa kini semakin suntuk dan tempoh sekitar lima bulan sebelum pelaksanaan pembaharuan itu tidak menyediakan masa yang mencukupi untuk mana-mana pihak pengeluar bertindak balas, terutamanya dari sudut rantaian bekalan dan logistik.
“Sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan bagi menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai impak pengenaan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS), Mohd. Shamsor menjelaskan kebimbangan utama pihaknya adalah berhubung eksport alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang merupakan bahagian penting dalam perdagangan automotif Malaysia dengan AS.
“Alat ganti sahaja bernilai hampir AS$100 juta (RM425 juta), mewakili kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport automotif negara ke AS, tidak termasuk komponen rel dan trem,” katanya.
Tambahnya, ketika industri masih belum merasai sebarang kesan secara langsung buat masa ini, sebarang tekanan kos akibat tarif dijangka akan menjadi lebih ketara dalam tempoh enam bulan akan datang.


































