Joniston Bangkuai
PENAMPANG: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” adalah seruan patriotik kepada rakyat Sabah untuk mengambil tanggungjawab terhadap negeri sendiri, dan bukannya satu isyarat permusuhan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Berucap pada Konvensyen Bersama PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang pertama di Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini, Joniston menjelaskan bahawa slogan tersebut mencerminkan ikatan peribadi yang mendalam antara rakyat Sabah dan tanah air mereka, seiring semangat perpaduan, tanggungjawab dan kebanggaan yang terkandung dalam lagu negeri.
Beliau menegaskan, slogan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dipilih untuk menyemarakkan semangat pemilikan tempatan dalam menentukan masa depan Sabah, serta mengiktiraf kepentingan memperkasa kepimpinan dan kuasa membuat keputusan oleh parti-parti berteraskan Sabah.
Merujuk kepada bait lagu negeri seperti “Sabah tanah airku, negeri kita yang tercinta” dan “Sabah negeri merdeka”, beliau berkata, slogan itu selari dengan seruan agar rakyat Sabah bersatu dan mempertahankan tanah air dengan penuh iltizam.
“Slogan ini sama sekali bukan anti-Persekutuan kerana Sabah tetap komited kepada Malaysia. Namun kita mahu dilayan sebagai rakan kongsi setara, di mana suara kita turut diambil kira dalam merangka dasar negara.
“Keputusan mengenai infrastruktur, pendidikan dan pembangunan mesti mencerminkan realiti di sini, bukannya ditentukan oleh pihak di Putrajaya yang mungkin tidak memahami sepenuhnya cabaran unik yang kita hadapi,” katanya.
Beliau turut membidas keputusan yang dibuat tanpa rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah, termasuk penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) dan pengumuman Persekutuan berkaitan pembangunan bersama minyak dan gas di perairan Ambalat.
Joniston mengakui kenaikan Geran Khas Sabah daripada RM53 juta kepada RM600 juta adalah langkah positif, namun tetap menegaskan tuntutan GRS agar 40 peratus hasil yang menjadi hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dikembalikan.
Menolak dakwaan bahawa slogan itu sekadar retorik politik, Joniston berkata, “Rumah Kita, Kita Jaga” harus difahami sebagai seruan sebenar dan mendesak untuk layanan yang adil, tanggungjawab bersama dan penghormatan tulen terhadap hak Sabah menentukan halatujunya sendiri dalam Persekutuan Malaysia.
“Saya percaya jika konsep ini dilaksanakan sepenuhnya, ia mampu mewujudkan hubungan yang lebih harmoni antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan, serta menghapuskan segala syak wasangka mengenai keikhlasan untuk melihat Sabah maju seiring dengan Semenanjung Malaysia.
“Memenuhi hak yang sewajarnya milik Sabah akan menjadi langkah besar ke arah mewujudkan sebuah Malaysia yang harmoni, bersatu dan kuat,” katanya.


































