Kehadiran seekor burung merpati dengan warna hijau terang mencuri tumpuan masyarakat di Northampton, Britain.
NORTHAMPTON: Penduduk tempatan di sebuah bandar kecil di Britain kini penuh tanda tanya apabila seekor burung merpati berwarna hijau terang mencuri tumpuan warga media sosial, sehingga menyebabkan ramai pengunjung yang datang dari seluruh pelosok negara hanya untuk melihatnya lebih dekat.
Burung luar biasa itu yang kerap bertenggek di sekitar kawasan Gereja All Saints di pusat bandar Northampton, kini menjadi tarikan pelancong tidak rasmi malah video mengenainya meraih lebih empat juta tontonan di TikTok.
“Saya dan pasangan sedang bermain Pokemon Go dan singgah di kawasan itu. Kami pun tertanya-tanya adakah ini burung ‘shiny’ betul-betul. Saya rasa mungkin ada orang buat lawak, atau dicat untuk majlis perkahwinan atau acara tertentu,” kata seorang penduduk, Robin Hinkmott yang merakam kelibat burung itu pada 28 Jun lalu.
Katanya, burung itu kelihatan sihat dan masih aktif seperti biasa, namun tetap timbul kebimbangan bahawa warnanya yang terang boleh menjadikannya sasaran mudah kepada pemangsa.
Pelbagai teori tentang warna pelik burung tersebut dikemukakan, termasuk dakwaan bahawa ia mungkin berkait dengan bahan yang dimakan, seperti mana burung camar yang boleh berubah sedikit kemerah-merahan selepas memakan udang.
Namun, kemunculan merpati bercahaya ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pencinta haiwan, khususnya Persatuan Diraja untuk Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (RSPCA) yang menyuarakan kebimbangan tentang kesan buruk trend media sosial terhadap haiwan liar.
Menurut RSPCA, mereka mengesyaki burung tersebut telah dicat atau diwarnakan dengan sengaja, meskipun ada teori yang menyatakan warna pelik itu mungkin berpunca daripada pemakanan atau bahan luar yang terlekat pada bulu haiwan berkenaan.
Susulan fenomena ini, RSPCA mengeluarkan amaran tegas tentang bahaya mewarnakan burung secara sengaja.
“Kami khuatir trend media sosial kini mendorong kepada peningkatan kejadian seperti ini. Sekiranya anda menyaksikan sebarang kejadian melibatkan haiwan yang dicat atau diwarnakan, sila rujuk laman sesawang RSPCA untuk tindakan selanjutnya.” demikian menurut jurucakap RSPCA dalam satu kenyataan.
Meskipun burung itu kini menjadi selebriti TikTok dan mencetuskan gelak tawa sesetengah penduduk, kebimbangan terhadap kesejahteraannya tidak boleh diketepikan.

































