WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali menghangatkan perang perdagangannya dengan mengancam 14 negara dengan tarif yang lebih tinggi namun kemudian menyatakan beliau mungkin lebih fleksibel berhubung tarikh akhir yang ditetapkan pada Ogos untuk mencapai perjanjian.
Menurut Utusan Malaysia, Trump menghantar surat kepada rakan dagang termasuk sekutu utama AS seperti Jepun dan Korea Selatan, memaklumkan duti yang digantung sejak April akan kembali dikenakan malah lebih tinggi dalam tempoh tiga minggu.
Tokyo dan Seoul dijangka dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan mereka, menurut surat itu.
Negara-negara lain termasuk Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan turut dikenakan duti antara 25 hingga 40 peratus.
Namun, dalam langkah yang dijangka menambah ketidaktentuan dalam ekonomi global yang sudah pun terganggu akibat dasar tarif beliau, Trump sekali lagi memberikan ruang kepada negara-negara terlibat untuk merundingkan perjanjian.
“Saya akan kata (tarikh akhir itu) muktamad, tetapi bukan 100 peratus muktamad,” kata Trump kepada wartawan ketika makan malam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu apabila ditanya mengenai tarikh akhir 1 Ogos.
“Saya akan kata ini tawaran terakhir tetapi jika mereka hubungi dengan tawaran lain, dan saya suka, maka kita akan teruskan,” jawab Trump ketika ditanya sama ada surat itu merupakan tawaran terakhirnya.
Trump sebelum ini mengumumkan tarif menyeluruh terhadap import pada Hari Pembebasan pada 2 April, termasuk tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua negara.
Namun, beliau segera menggantung semua tarif melebihi 10 peratus selama 90 hari selepas pasaran mengalami kegawatan.
Tarif itu dijadualkan kembali berkuat kuasa pada Rabu dan Trump menghantar surat tersebut sebagai notis awal.
Surat Trump kepada pemimpin Jepun dan Korea Selatan yang hampir serupa dari segi kandungan menyatakan beliau akan mengenakan tarif 25 peratus kerana hubungan dagang mereka dengan Washington tidak lagi bersifat timbal balik.
Beliau turut memberi amaran tentang kemungkinan peningkatan tindakan jika berlaku sebarang tindakan balas terhadap tarif tersebut.































