Armizan semasa mengadakan sidang akhbar di SICC, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam proses meminda peraturan berhubung penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bagi memastikan keperluan peniaga mikro dan kecil, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, terus diambil kira dan dilindungi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang bakal dilaksanakan akan membolehkan fleksibiliti yang lebih besar kepada peniaga mikro berbanding peraturan sedia ada yang mengehadkan penggunaan silinder LPG bersubsidi kepada tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa.
“Peniaga makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan tidak perlu bimbang. Mereka akan terus menikmati manfaat subsidi LPG seperti biasa,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama persatuan peniaga makanan dan minuman Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Menurut beliau, sesi libat urus diadakan bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada pemain industri berkaitan pindaan yang dicadangkan. Pindaan ini turut bertujuan memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan subsidi, termasuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan.
“KPDN amat mengalu-alukan pandangan dan syor daripada semua pihak berkepentingan, termasuk persatuan peniaga sendiri. Kita mahu pastikan dasar ini mengambil kira realiti di lapangan,” katanya lagi.
Beliau berkata, sesi libat urus akan diteruskan ke seluruh negeri sebelum pindaan dilaksanakan sebaik sahaja tamat tempoh pelaksanaan Ops GASAK.
OPS KESAN 4.0 Bermula 1 Julai
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan turut mengumumkan pelaksanaan OPS KESAN 4.0 bermula 1 Julai 2025, selari dengan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
OPS KESAN 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) dengan tumpuan utama kepada pemantauan dan penguatkuasaan harga bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Fokus utama adalah untuk memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barang dan perkhidmatan secara berlebihan dan bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Skop penguatkuasaan akan melibatkan semua barangan dan perkhidmatan terlibat dalam semakan kadar SST, termasuk barangan keperluan asas yang tidak terlibat secara langsung dalam semakan tersebut.
Tiga Pendekatan Utama OPS KESAN 4.0
Bagi memastikan keberkesanan OPS KESAN 4.0, KPDN menggerakkan tiga pendekatan utama:
Pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan, termasuk kutipan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang akan menjadi asas perbandingan sebelum dan selepas pelaksanaan SST;
Kerjasama dengan agensi kerajaan serta penglibatan masyarakat melalui gerakan KITA GEMPUR bagi membanteras manipulasi dan ketirisan; dan
Pewujudan SOP pengurusan aduan berhubung caj, harga dan bekalan menerusi saluran berikut:
Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6245 / 6088
WhatsApp: 012-665 4292
Portal e-Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my
Call Centre: 1-800-886-800
Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN
KPDN turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati bersalah melakukan pencatutan. Individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
































