SHAH ALAM: Tiada sebarang unsur kecuaian, sabotaj atau khianat berhubung insiden letupan saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini pada 1 April lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dapatan itu diperoleh menerusi siasatan terperinci yang dijalankan.
Katanya, siasatan menyeluruh yang dilakukan bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Petronas mendapati, kejadian itu berpunca daripada saluran paip gas bawah tanah.
“Kebakaran berlaku kira-kira pukul 8.06 pagi dan bomba mengambil masa selama tujuh jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.
“Siasatan polis melibatkan dua aspek utama iaitu unsur khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala kecuaian di bawah Seksyen 285 dan 286 kanun sama,” katanya ketika membentangkan laporan siasatan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Hussien berkata, siasatan turut memfokuskan beberapa faktor lain antaranya kerja pembinaan deretan lot kedai dan penggantian paip oleh kontraktor.
“Hasil siasatan mendapati dua pelaksanaan kerja itu dilakukan mengikut garis panduan ditetapkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan berada di zon penampan sejauh 40 meter dari paip gas.
“Kerja penggantian paip juga dilakukan secara berhati-hati tanpa mengganggu paip sedia ada pada kedalaman 5.6 meter,” katanya.
Beliau berkata, tekanan gas yang dicatatkan di Pusat Kawalan Gas Petronas berada pada bacaan normal dan hanya menunjukkan penurunan drastik sejurus insiden itu.
“Selain itu, tiada aktiviti pembinaan dijalankan ketika kejadian dan kali terakhir pada 30 Mac lalu.
“Berdasarkan siasatan terperinci, polis mendapati tiada sebarang elemen kecuaian, sabotaj atau khianat yang boleh dikaitkan sebagai punca kebakaran,” katanya.
Hussein berkata, seramai 212 individu termasuk mangsa, saksi bebas, wakil agensi berkaitan seperti Petronas, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pemaju, kontraktor dan pakar bebas telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.
Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar.
Sebanyak 218 rumah lagi tidak terjejas termasuk melibatkan Kampung Tengah, Puchong.
































