Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
TEMERLOH: Seorang guru sebuah sekolah kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Rosli Sulaiman, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut fakta pertuduhan pertama, guru terbabit didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya. Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira pukul 6 petang, 18 Jun lalu di Ibu pejabat Polis (IPD) Temerloh.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Rosli didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba miliknya. Kesalahan dilakukan itu kira-kira pukul 4.45 petang, 19 Jun lalu, di sebuah rumah di sini.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan 30 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. Hakim turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.
































