PETALING JAYA: Malaysia bertekad memperkukuh hubungan dengan Jerman merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan kukuh antara dua negara bukan sahaja tertumpu kepada perluasan peluang perdagangan dan pelaburan, malah turut merangkumi aspek pembangunan modal insan.
“Kerjasama dalam bidang pendidikan, termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta pertukaran budaya amat penting dalam memupuk persefahaman dan menghargai kepelbagaian,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan menyeluruh antara kedua-dua negara akan terus berkembang dan mampu mempererat hubungan rakyat serta menyumbang kepada kemajuan bersama yang mampan.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
































