Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berdepan pertuduhan rasuah.
“Kita menghormati undang-undang dan akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya. Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi yang didakwa atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga di sini, hari ini.
Mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan sedia ada, Ketua Menteri berkata, beliau akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya setelah semua maklumat dan laporan berkaitan diterima.
Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam tadbir urus dan pengurusan kerajaan.
Andi, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, serta Dr. Yusof, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, didakwa menerima wang daripada seorang individu bernama Dato Tei Jeinn Cheing sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan lesen penerokaan mineral bagi dua syarikat milik rakan perniagaan Tei.
Tei turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah.
































