PETALING JAYA: Kerajaan mengekalkan pengenaan duti antilambakan terhadap import besi atau keluli bukan aloi dari China, Korea Selatan dan Vietnam bagi melindungi industri tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi kenyataan, keputusan itu dibuat selepas kajian semula pentadbiran yang dimulakan pada 24 Disember 2024 lalu.
Katanya, produk terlibat ialah besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk (CRC) dengan kelebaran melebihi 1,300 milimeter yang tidak termasuk plat hitam kilang timah.
“Dagangan subjek untuk kegunaan akhir automotif dan finwall transformer juga tidak termasuk dalam penguatkuasaan duti anti-lambakan yang diumumkan semalam.
“Kajian itu dilakukan berdasarkan permohonan syarikat Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. yang mewakili pengeluar tempatan bagi menilai kesan lambakan terhadap industri.
“Keputusan ini dibuat mengikut subseksyen 28(6), Akta Duti Timbal Balas dan Antilambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan berkaitan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu memaklumkan, kerajaan membuat penentuan muktamad afirmatif bagi meneruskan pengenaan duti antilambakan terhadap pengeluar dan pengeksport dari China dan Jepun.
“Bagi China, duti melibatkan Angang Steel Company Limited (4.82 peratus), Maanshan Iron and Steel (4.76 peratus), serta Shougang Jingtang United (8.74 peratus),” katanya.
Sementara itu, kadar duti bagi lain-lain pengeluar dan pengeksport dari China pula ditetapkan sebanyak 26.38 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan lima tahun.
“Bagi Jepun, semua pengeluar dan pengeksport akan dikenakan kadar duti anti-lambakan tetap sebanyak 26.39 peratus mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2030.
“Duti tersebut akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengekang risiko lambakan berulang yang boleh menjejaskan penggiat industri tempatan.” katanya.
Pada masa sama, kerajaan turut membuat penentuan muktamad negatif terhadap siasatan import produk serupa dari Korea Selatan dan Vietnam.
Ini bermakna semua siasatan dan duti ke atas dagangan subjek dari Korea Selatan serta Vietnam ditamatkan secara rasmi mulai 23 Jun 2025.
Kata kenyataan itu lagi, tindakan ini diambil setelah mengambil kira bahawa tiada ancaman lambakan atau kemudaratan industri tempatan daripada dua negara tersebut.
































