KOTA KINABALU: Pendigitalan dikenal pasti sebagai teras utama dalam melonjakkan prestasi sektor perdagangan dan pengedaran negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, inisiatif ini diperkukuh melalui pelaksanaan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyasarkan usahawan B40 dan bakal usahawan bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam ekosistem perniagaan digital.
“Melalui PPP25, peserta diberi pendedahan tentang manfaat dan kepentingan pendigitalan dalam memperluas pasaran, memperkasa produktiviti dan meningkatkan kualiti produk.
“Penggunaan teknologi digital seperti platform media sosial dan e-dagang terbukti dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan dan membuka akses pasaran lebih luas di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan PPP25 di Sabah merupakan siri pertama daripada tiga siri yang dirancang tahun ini, sebelum diteruskan di Pulau Pinang dan Terengganu.
Sempena program itu, SSM turut menyampaikan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM107,518 dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM45,000 kepada golongan memerlukan di Sabah.
Armizan turut memaklumkan bahawa sehingga 31 Mei 2025, sebanyak 77,546 syarikat telah diperbadankan dan 1,676 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) didaftarkan di seluruh negeri Sabah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 31,110 syarikat dan 1,510 PLT masih aktif. Sementara itu, di Kota Kinabalu sahaja, terdapat 39,525 syarikat diperbadankan dan 1,118 PLT didaftarkan, dengan 15,331 syarikat dan 1,003 PLT yang aktif,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN kini berada pada fasa akhir Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang, yang bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Ogos 2025.
“Kajian ini bertujuan mengenal pasti semua perundangan e-dagang sedia ada, meneliti kekurangannya, serta membandingkan dengan amalan di peringkat antarabangsa. Ia juga bertujuan mengenal pasti keperluan industri dan pengguna, sebelum mencadangkan pindaan atau penggubalan undang-undang baharu,” jelas beliau.
Bagi memperkasa kajian tersebut, beliau berkata, satu sesi townhall bersama pemain industri e-dagang akan diadakan pada 17 Julai 2025.
“Setakat ini, sebanyak 63 entiti terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan industri telah terlibat dalam sesi libat urus, selain tinjauan bersama firma dan pengguna e-dagang yang turut dijalankan,” tambahnya.
Datuk Armizan berkata, semua input kajian itu akan dianalisis secara menyeluruh dan disusun dalam bentuk syor dasar komprehensif sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan dan pembentangan di Parlimen.
Antara akta berkaitan sektor e-dagang yang dipantau terus oleh KPDN adalah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada 2023, sektor e-dagang menyumbang RM248.4 bilion atau 13.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
“Pendapatan sektor ini turut mencatatkan pertumbuhan 6% daripada RM1.037 trilion pada tahun 2021 kepada RM1.099 trilion pada 2022. Ia dijangka terus berkembang dengan sasaran mencapai RM1.65 trilion pada 2025,” katanya.
KPDN, tegas beliau, komited untuk terus memacu transformasi sektor perdagangan dan pengedaran melalui strategi pendekatan “whole of nation” yang menekankan kepentingan pendigitalan secara inklusif dan menyeluruh.
“Ini penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan domestik agar kekal relevan dalam era ekonomi digital global,” katanya.































