Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengulangi komitmennya terhadap pelaburan jangka panjang dalam sektor tenaga di Kanada, sekali gus menolak laporan baru-baru ini yang mendakwa kemungkinan mereka keluar dari negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat minyak dan gas (O&G) negara itu berkata, sebarang laporan yang mendakwa Petronas akan meninggalkan Kanada adalah tidak tepat.
“Petronas komited terhadap pelaburan di Kanada, di mana ia mengendalikan pembangunan gas huluan North Montney Joint Venture dan merupakan rakan kongsi utama dalam kemudahan pencairan gas asli cecair (LNG) Canada di Kitimat, BC.
“Dengan LNG Canada bersiap sedia untuk kargo pertamanya tahun ini, Petronas berbangga dapat menyediakan gas asli cecair Kanada yang rendah karbon dan boleh dipercayai untuk menyokong pasaran tenaga global untuk beberapa dekad yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bloomberg melaporkan Petronas sedang mempertimbangkan pilihan untuk syarikat Kanada miliknya, sebelum ini dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp termasuk untuk penjualan.
Bloomberg melaporkan Petronas sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan mengenai kemungkinan pelupusan dan bahawa transaksi boleh menilai perniagaan Kanada pada AS$6 bilion (RM25.5 bilion) hingga AS$7 bilion (RM29.8 bilion).
Petronas membeli Progress Energy kira-kira AS$5.3 bilion (RM22.5 blion) pada 2012, serta 25 peratus kepentingan dalam projek LNG Canada.


































