Hajiji bergambar bersama wakil-wakil penerima sumbangan lembu korban pada Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kg. Lok Batik Tuaran hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Para penerima agihan sumbangan lembu korban terdiri daripada wakil masjid dan surau kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan daerah.
Ketika ditemui selepas majlis penyerahan, Hajiji berkata, ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, juga menjadi medium pengukuhan
perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.

“Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam. Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid
Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.


































