SINGAPURA: Penyelidik dari Singapura membangunkan ujian inovatif yang kini digunakan di lebih 90 negara bagi membantu menangani pandemik akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, dikenali sebagai ujian peneutralan virus pengganti multiplex (sVNT), ia boleh mengesan jika individu mempunyai antibodi yang mampu meneutralkan pelbagai virus untuk mencegah penyakit.
Antibodi demikian menawarkan perlindungan terhadap pelbagai virus yang sangat patogenik, termasuk varian Sars-CoV-2, menyebabkan pandemik Covid-19.
Ujian itu juga boleh digunakan untuk mengesan patogen lain seperti Ebola dan henipavirus, sekumpulan virus zoonatik seperti Nipah.
Pakar memberi amaran virus zoonotik, yang boleh menular daripada haiwan kepada manusia, berpotensi mencetuskan pandemik pada masa hadapan.
Ujian tersebut dibangunkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Tan Chee Wah dari Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi, di Sekolah Perubatan NUS Yong Loo Lin dan Profesor Wang Linfa dari Program Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-NUS.
Prof. Linfa berkata, keupayaan untuk mengukur tahap imuniti individu boleh diguna bagi menentukan keberkesanan vaksin baharu.
“Meneutralkan antibodi adalah ukuran fungsi imuniti anda. Jadi jika anda mempunyai paras antibodi yang tinggi, anda kemungkinan besar akan dilindungi daripada jangkitan pada masa hadapan,” katanya kepada Straits Times.
Ia juga boleh menyokong pengesanan kontak dalam wabak dengan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu yang sebelum ini dijangkiti dan membentuk antibodi, sekali gus membantu mengenal pasti rangkaian penularan.
Prof. Linfa berkata, sVNT kini digunakan di lebih 90 negara, termasuk institusi ternama seperti Universiti Oxford, Universiti Indonesia dan Universiti Melbourne.
Dr. Chee Wah berkata, pasukannya kini berusaha membangunkan ujian yang boleh digunakan untuk semua patogen dalam senarai keutamaan global bagi bakteria tahan antibiotik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
































