KIULU: Ketidaksepakatan dalam pengagihan kerusi antara parti-parti yang berhasrat untuk membentuk pakatan dijangka akan membawa kepada pertembungan terbuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai.
Memandangkan kemungkinan itu, Joniston berkata, GRS mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bertanding secara solo seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Hajiji sebelum ini menyatakan bahawa GRS bersedia untuk bergerak sendiri selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani deklarasi untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, yang dianggap ramai sebagai satu tindakan menyisihkan GRS.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu berkata, pertembungan terbuka mungkin menjadi rahmat yang tersembunyi kerana ia memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk memilih antara gabungan parti tempatan dan gabungan parti yang berpangkalan di Semenanjung.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Tibabar di sini selepas merasmikan jalan dinaik taraf Poturidong – Tibabar.

Joniston Bangkuai
“Rakyat Sabah boleh menjadikan pilihan raya negeri akan datang sebagai referendum untuk memilih antara GRS yang berpangkalan di Sabah, Barisan Nasional yang diketuai Umno, Pakatan Harapan dan Parti Warisan serta rakan sekutunya,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Ini adalah ujian jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin dari parti tempatan atau oleh mereka yang tunduk kepada arahan parti yang berpusat di Kuala Lumpur.”
Beliau berkata, GRS telah membuktikan bahawa gabungan yang berpangkalan di Sabah mampu membawa pembangunan bermakna sambil menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.
Sebagai contoh, Joniston menegaskan bahawa walaupun GRS yang berpangkalan di Sabah menerajui Kerajaan Negeri, ia tetap menjalin hubungan kerja yang baik dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Joniston turut berkata bahawa pemberian khas tahunan Persekutuan telah meningkat daripada RM53 juta semasa Warisan memerintah kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS.
Satu lagi contoh ialah pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri yang diterajui GRS dan Petronas, yang membawa manfaat nyata kepada Sabah dan meningkatkan hasil negeri.
Hasil daripada tadbir urus yang baik serta pelan dan strategi pembangunan yang berfokus menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya, ditambah dengan hubungan baik dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri telah meningkat kepada RM6.9 bilion dan rizab negeri hampir mencecah RM8 bilion.
“Kita bukan anti-Persekutuan, tetapi kita percaya Sabah mesti diterajui oleh pemimpin sendiri yang tidak terikat dengan arahan luar.
“GRS adalah bukti bahawa Sabah boleh bekerjasama secara matang dengan Putrajaya, sambil terus mengutamakan rakyat Sabah,” tambahnya.
Joniston turut menyentuh mengenai gerakan politik lampau yang melibatkan Umno-BN, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), dengan menyifatkan percubaan mereka untuk menjatuhkan Ketua Menteri pada Januari 2023 sebagai tindakan bermotif politik yang tidak baik dan merosakkan.
“Isu itu bukan tentang kepimpinan, tetapi mengenai penguasaan dan kepentingan sendiri.”
Joniston menggesa pengundi supaya mengambil iktibar daripada cubaan rampasan kuasa pada Januari 2023 dan memilih kestabilan berbanding permainan politik.
“Kita telah lihat kerosakan akibat permainan kuasa yang tidak bertanggungjawab. Sabah perlukan pimpinan yang stabil dan ikhlas. Pilihan raya ini adalah peluang kita untuk mara ke hadapan, bukan berpatah balik,” katanya.


































