Hajiji bersama kenamaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Haji Ahmadshah Abdullah di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Majlis penghormatan terakhir bagi mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Haji Ahmadshah Abdullah berlangsung dalam suasana penuh hiba dan penghormatan di Masjid Negeri hari ini.
Jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman keluarga di Taman Likas Jaya kira-kira jam 10 pagi dan disambut oleh ahli keluarga, kenalan rapat, serta para pemimpin negeri dan rakyat yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar selepas solat Zohor, sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor turut hadir memberi penghormatan terakhir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Haji Juhar Mahiruddin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Haji Kadzim Haji M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr.Haji Safar Untong dan kenamaan lain.
Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengumumkan tempoh
berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang
sepanjang tempoh tersebut.


































