TOKYO: Rekod Dunia Guinness mengiktiraf ‘taman poket’ di Jepun sebagai yang terkecil di dunia.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita Kyodo melaporkan, taman yang terletak di bandar Nagaizumi di wilayah Shizouka tengah itu, hanya berkeluasan 0.24 meter persegi, dengan ruang cukup untuk seorang duduk di atas bangku kayu atas batu.
Ia terdiri daripada beberapa bata kecil yang ditinggikan, tumbuhan kecil di sebelah bangku dan dua monumen batu, termasuk satu dengan ukiran bunga simbolik bandar tersebut.
Penduduk tempatan menggelarkan tempat itu sebagai ‘taman terkecil di dunia’ dan menghargainya sebagai ruang rehat selama lebih 30 tahun, sebelum diiktiraf secara rasmi oleh Rekod Dunia Guinness pada Disember lalu.
Dengan sokongan masyarakat setempat, pihak bandar memutuskan untuk mencabar rekod dunia pada 2023, mengupah juruukur untuk mengukur tanah itu dan menyerahkan sijil yang membuktikan tamah tersebut sudah wujud lebih daripada lima tahun.
Selepas pengiktirafan itu, taman tersebut kini menjadi tarikan pelancongan popular, menarik pengunjung dari luar Shizuoka.


































