Limus Jury
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa isu banjir di kawasan rendah tidak akan dipandang ringan dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo, kata Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury.
Beliau berkata, kementerian telah mengutamakan langkah-langkah mitigasi banjir sejak dari peringkat awal perancangan projek berkenaan bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan sistem saliran sedia ada.
“Setiap jajaran lebuh raya telah melalui proses penilaian ketat yang melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, termasuk penggunaan standard MSMA berdasarkan purata ulangan hujan 50 tahun (50-year ARI),” katanya ketika soalan dikemukakan oleh Dr. Daud Yusof (Bongawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Daud ingin tahu apakah usaha Kerajaan untuk memastikan tidak berlaku banjir setiap kali hujan lebat di kawasan
yang rendah berkaitan dengan projek melibatkan Projek Pan Borneo dan
adakah perbincangan dilakukan antara kementerian dan Kementerian
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah untuk mengatasi
masalah ini.
Limus berkata, reka bentuk pembetung, simulasi banjir dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) turut diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) Sabah sebelum sebarang kerja pembinaan dimulakan.
“Simulasi banjir sangat penting dalam memastikan pembinaan lebuh raya tidak mengubah aliran air semula jadi secara drastik, sekali gus mengelak banjir yang lebih buruk di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya telah mengambil langkah proaktif di kawasan sering terjejas seperti Beaufort, dengan membina jalan bertingkat sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Beaufort adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir. Pembinaan jalan bertingkat di kawasan itu bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, malah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” jelas beliau.
Dalam fasa pembinaan, kementerian juga memastikan pihak kontraktor melaksanakan penyelenggaraan sistem saliran sementara dan baharu bagi memastikan aliran air tidak terhalang akibat kelodak atau sampah.
“Kami pantau secara berkala kerja-kerja pembersihan longkang dan perparitan agar tidak ada halangan yang boleh menyebabkan limpahan air,” katanya lagi.
Selain itu, beberapa penambahbaikan reka bentuk perparitan turut dilakukan berdasarkan keadaan semasa di lapangan, terutama di lokasi yang didapati mudah dinaiki air.
Dalam menjawab persoalan kerjasama antara kementerian dengan pihak berkaitan, Limus berkata, perbincangan secara berterusan diadakan dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah menjadi penghubung utama dalam memastikan penyelarasan dilakukan secara berkesan antara agensi-agensi terlibat,” tambahnya.
Beliau berkata hasil kerjasama tersebut telah membawa kepada beberapa tindakan penambahbaikan seperti menaik taraf saiz pembetung untuk meningkatkan kapasiti saliran air.
Menurutnya, setiap kerja pembinaan yang melibatkan kawasan berhampiran sungai juga memerlukan kelulusan rasmi terlebih dahulu sebagai langkah kawalan risiko banjir.
Katanya, kementerian menyedari bahawa isu banjir tidak boleh diselesaikan hanya melalui pendekatan dalam projek Pan Borneo semata-mata.
“Oleh itu, kami akan terus mempergiat kerjasama bersepadu bersama agensi lain bagi menangani isu banjir secara holistik, khususnya di kawasan luar jajaran Pan Borneo,” katanya.
Limus turut menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir memerlukan perancangan menyeluruh dan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai peringkat agensi.
Beliau menyeru penduduk setempat supaya sentiasa memberi maklumat dan maklum balas kepada pihak berkuasa bagi memudahkan pelaksanaan tindakan susulan.
“Isu banjir bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia perlu ditangani bersama secara berstrategi dan berterusan,” ujarnya.
Limus turut memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memantau dengan teliti setiap perkembangan projek agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Projek Lebihraya Pan Borneo adalah projek rakyat. Kami mahu pastikan ia membawa manfaat, bukan masalah,” katanya.
































