SINGAPURA: Parlimen Singapura dibubarkan hari ini menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan dalam tempoh tiga bulan, menurut Warta Kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, pilihan raya itu akan menjadi ujian pertama buat Perdana Menteri, Lawrence Wong, yang mengambil alih kepemimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada penyandang terdahulu, Lee Hsien Loong, pada Mei 2024.
PAP hampir pasti akan mendominasi dan memenangi kebanyakan kerusi, seperti yang berlaku dalam setiap pilihan raya sejak kemerdekaan pada 1965.
Namun, peratusan undi popular yang diraih oleh parti itu akan diperhatikan dengan teliti selepas prestasi buruknya dalam pilihan raya terakhir pada 2020.
Pilihan raya akan berlangsung dalam suasana ekonomi yang suram, apabila tarif dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka menjejaskan aktiviti ekonomi negara yang bergantung kepada perdagangan itu.
Semalam, Singapura menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2025 kepada antara 0 peratus hingga dua peratus, berbanding jangkaan asal satu peratus hingga tiga peratus.
Populariti parti pemerintah turut merosot dalam pilihan raya kebelakangan ini apabila pembangkang semakin mendapat tempat dalam Parlimen – memenangi enam kerusi yang belum pernah terjadi sebelumnya pada 2011 dan 2015, serta 10 pada tahun 2020.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan empat kerusi tambahan berbanding pilihan raya terakhir pada 2020, dengan 97 ahli Parlimen akan dipilih daripada 15 bahagian pilihan raya perseorangan dan 18 bahagian dengan masing-masing empat atau lima ahli.

































