Petugas Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena raptai sambutan Presiden Xi Jinping yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga Khamis, di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang, semalam
PETALING JAYA: Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bermula hari ini bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara, selain terus memperkukuh hubungan dua hala Putrajaya-Beijing.
Menurut Utusan Malaysia, di tengah-tengah situasi kritikal ketika dunia dikejutkan dengan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) ekoran pelaksanaan tarif timbal balik, kehadiran Jinping di negara ini dijangka membuka ruang dagang baharu bagi negara itu dan Malaysia.
Penganalisis ekonomi melihat Jinping boleh menggunakan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk meneroka pasaran baharu, selain melobi sokongan ke atas China yang berdepan tarif sehingga 145 peratus, selain menjadikan rantau ini sebagai platform kepada produk dan syarikat China meneroka pasaran dunia.
Malaysia pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, Vietnam (46 peratus) dan Kemboja (49 peratus). Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif sebanyak 125 peratus produk AS.
Selain Malaysia, Jinping turut akan melawat Vietnam dan Kemboja ketika AS melaksanakan penangguhan selama 90 hari pelaksanaan tarif kepada negara ASEAN, dan banyak pihak melihat ia peluang China untuk mencari rakan dan pasaran baharu sebelum tarif berkuat kuasa.
China adalah rakan dagangan terbesar negara sejak 2009 dengan lebihan dagangan keseluruhan Malaysia pada 2024 berjumlah RM136.88 bilion, lebihan dagangan untuk tahun ke-27 berturut-turut sejak 1998.
Malaysia mengeksport barangan seperti minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG), getah, logam dan bahan kimia manakala China mengimport produk pengguna, keluli dan logam.
China juga antara pelabur asing terbesar di Malaysia termasuk projek Zon Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggarkan bernilai AS$10.6 bilion serta pelaburan dalam sektor hartanah, tenaga dan teknologi.
Menurut Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, lawatan bersejarah Jinping itu peluang strategik bagi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan negara dalam landskap ekonomi serantau.
“China telah menjadi rakan strategik utama Malaysia sejak era kepimpinan Tun Abdul Razak, dan lawatan ini mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang, khususnya di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
“Antara projek utama yang dijangka menerima suntikan semangat baharu termasuk projek ECRL serta inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ yang bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Rizal Palil pula, lawatan Jinping bakal membawa pelaburan yang lebih tinggi dari China, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Bagaimanapun katanya, Malaysia perlu berhati-hati dalam sebarang rundingan agar tidak dilihat terlalu cenderung kepada China.
“Ini kerana, rundingan agak berisiko dalam perspektif negara-negara yang anti China. AS juga sekarang ini sedang mengalami tekanan dalaman dan luaran dari segi ekonomi. Perang ekonomi ini perlu diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah,” katanya.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad pula berpandangan, lawatan Jinping mencerminkan penghormatan tinggi China terhadap Malaysia sebagai antara rakan dagang utama.
Menurut beliau, rundingan antara kedua-dua negara berpotensi membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik yang lebih seimbang, seiring dengan kebangkitan semula ekonomi Asia.
“Ia memberi isyarat bahawa kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China berada di landasan kukuh, khususnya ketika negara-negara Asia sedang mencari ruang pertumbuhan baharu berikutan tekanan tarif antarabangsa,” katanya
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, UiTM Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak tidak menolak kemungkinan ASEAN meningkatkan kerjasama dengan negara blok BRICS (turut dianggotai China) sebagai strategi jangka panjang bagi mengimbangi dominasi ekonomi Barat.
“Langkah China ini berkemungkinan usaha menarik sokongan serantau terhadap pembentukan blok ekonomi baharu yang dicadangkan oleh BRICS sebagai alternatif kepada sistem yang dikawal kuasa Barat.
“Namun, hubungan dagang dengan AS masih penting dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.

































