Wanita berusia 43 tahun ditahan selepas polis merampas sejumlah cecair dan daun disyaki ketum dalam satu serbuan di Putatan.
PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 43 tahun ditahan selepas polis merampas sejumlah cecair dan daun disyaki ketum dalam satu serbuan di Kampung Ulu Seberang, Putatan, pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan itu dibuat dalam satu operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Penampang kira-kira jam 1 petang.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat yang diterima berhubung kegiatan memproses dan memiliki bahan disyaki ketum di kawasan berkenaan.
“Hasil serbuan tersebut, seorang wanita berumur 43 tahun telah ditahan bersama barang rampasan iaitu 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu karung plastik berwarna putih yang mengandungi dedaun berwarna hijau disyaki daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan.
Sammy berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM975.
Selain itu, katanya, pihak polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sammy menegaskan polis tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuk penyalahgunaan dan pemprosesan air ketum.
“Pihak polis memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dadah atau aktiviti melibatkan air ketum supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kegiatan menyalahi undang-undang dapat dibanteras demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
































