Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah (BZF) menganggarkan kutipan Zakat Harta dan Zakat Fitrah pada tahun 2025/1446 akan berjumlah RM155 juta, dengan kutipan Zakat Fitrah dianggarkan sebanyak RM12.6 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, sasaran jumlah pembayar zakat fitrah adalah seramai 1.68 juta orang.
Namun begitu, katanya, jumlah sebenar kutipan Zakat Fitrah masih belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses pengiraan dan pengauditan.
Tambah beliau, bagi pengagihan zakat sempena bulan Ramadan tahun ini, BZF (MUIS) telah memperuntukkan sebanyak RM20.1 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM18,462,950 telah diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf melalui Skim Bulanan dan Skim Hari Raya, manakala baki sebanyak RM1.6 juta akan diagihkan kepada 2,050 orang wakil amil fitrah yang telah dilantik oleh MUIS.
Sementara itu, Dr. Mohd. Arifin memaklumkan bahawa MUIS melalui Jawatankuasa Zakat dan Fitrah sedang mengkaji cadangan penetapan lebih daripada satu kadar Zakat Fitrah di Sabah, sebagaimana diamalkan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Dr. Daud Yusof (Bongawan) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Amisah bertanyakan hasil kutipan Zakat Fitrah di Sabah bagi tahun 2025/1446 serta jumlah penerima bantuan Ramadan, manakala Annuar bertanya mengenai bantuan kerajaan kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, khususnya di daerah Keningau, Tenom, Beaufort dan Membakut. Dr. Daud pula membangkitkan isu talian internet yang lemah di kawasan DUN Bongawan, termasuk di beberapa kampung seperti Kg. Nyaris-Nyaris, Kg. Darat Pauh, Kg. Kimanis dan Kg. Lingan Lama.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) menyediakan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) untuk pembaikan kecil sekolah yang tidak melibatkan perubahan struktur bangunan, dengan peruntukan maksimum RM50,000 termasuk bagi sekolah yang terjejas banjir.
Sekolah-sekolah yang terlibat perlu mengemukakan permohonan melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Daerah kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut.
Selain itu, tambah beliau, terdapat juga peruntukan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) bagi pembelian peralatan digital. Sekolah yang terjejas banjir boleh memohon bantuan ini bagi menggantikan peralatan yang rosak.
“Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN) bagi menangani kerosakan infrastruktur sekolah akibat bencana. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu membuat verifikasi kerosakan dan mengemukakan anggaran kos untuk tindakan selanjutnya.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pengurusan Aset juga menyediakan peruntukan khas bencana untuk sekolah yang terkesan,” katanya.
Bagi daerah Keningau, Tenom dan Beaufort, JPN Sabah telah menghantar permohonan peruntukan bencana mengikut daerah, manakala permohonan kepada KPM telah dihantar secara berfasa pada 23 hingga 26 Mac 2025.
Tambah beliau, JPN Sabah juga menerima peruntukan Ihsan MADANI berjumlah RM3.125 juta untuk pembaikan 26 buah sekolah akibat banjir.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mohd. Arifin memaklumkan bahawa Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk menambah baik liputan komunikasi dan internet di Sabah.
Sehingga 31 Januari 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 94.40%. Di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 432 daripada 689 menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi.
Selain itu, 4,986 daripada 5,083 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dan 275,605 daripada 311,759 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik. Kesemua 138 lokasi sasaran juga kini menikmati perkhidmatan internet melalui teknologi satelit dan Broadband Wireless Access (BWA).
Bagi DUN Bongawan, tiga daripada empat menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi, 42 daripada 43 stesen pemancar telah dinaik taraf, dan 1,674 daripada 2,157 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.
“Baki inisiatif yang sedang dilaksanakan dijangka siap secara berperingkat menjelang akhir tahun 2025,” katanya.
Berkenaan liputan internet di kampung-kampung seperti Kg. Nyaris-Nyaris, Kg. Darat Pauh, Kg. Kimanis, Kg. Mandahan, Kg. Gadong, Kg. Ulu Kimanis, Ulu Bongawan, Kg. Lingan Lama, Kg. Kelatuan dan Kg. Kabang, beliau memaklumkan bahawa sebahagian kampung ini telah menerima liputan 4G melalui menara berhampiran yang dibangunkan secara komersial.
“Kg. Lingan Lama telah dikenal pasti untuk pembinaan menara baharu di bawah JENDELA, dan menara tersebut kini siap serta beroperasi,” katanya.
MCMC juga akan memantau kualiti liputan internet di kawasan yang dinyatakan dan merancang untuk menjalankan audit bagi menilai status sebenar liputan.
Jika pembekal perkhidmatan gagal memenuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), katanya, Suruhanjaya akan mengeluarkan arahan penambahbaikan, dan pembekal wajib melaksanakannya. Pemeriksaan susulan akan dibuat bagi memastikan pematuhan.
Ketidakpatuhan terhadap arahan Suruhanjaya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pembekal perkhidmatan.
Orang ramai yang menghadapi masalah perkhidmatan dinasihatkan mengemukakan aduan kepada pembekal perkhidmatan atau terus ke MCMC melalui pautan: https://aduan.mcmc.gov.my.


































