Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya terhadap prinsip ketelusan, kedaulatan undang-undang dan integriti dalam pentadbiran susulan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung pelesenan mineral.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya terbukti bersalah, namun menekankan bahawa siasatan harus dijalankan tanpa sebarang campur tangan atau tekanan politik.
“Siasatan ini adalah tanggungjawab SPRM, sebuah badan bebas yang diberikan kuasa oleh undang-undang. Biarlah mereka diberi ruang untuk menyempurnakan siasatan tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga ADUN Apas berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh ADUN Elopura, Calvin Chong, yang menurutnya menunjukkan kekeliruan berhubung proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Saya memandang serius dakwaan yang dibangkitkan oleh YB Calvin Chong berhubung siasatan SPRM terhadap beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikaitkan dengan isu pelesenan mineral. Namun, dakwaan yang dilemparkan oleh YB Calvin itu jelas menunjukkan kedangkalan dirinya sendiri berkaitan proses undang-undang dan siasatan yang masih dijalankan oleh SPRM,” katanya.
Nizam menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah beberapa kali memaklumkan bahawa tiada sebarang unsur campur tangan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam siasatan tersebut. Malah, Ketua Menteri telah memberi kerjasama penuh dan hadir dua kali memberi keterangan kepada SPRM.
Azam juga berkata, SPRM telah memanggil kesemua ADUN yang dikaitkan, memperlihatkan video berkaitan serta mendapatkan penjelasan langsung daripada mereka yang terlibat.
Azam turut menjelaskan bahawa hasil analisis forensik terhadap lapan video awal yang mendapati terdapat unsur suntingan dan manipulasi, menjadikannya tidak layak untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah dan satu video terbaharu yang lebih panjang kini sedang dianalisis dengan teliti.
Nizam menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan siasatan terbabit, dan tidak menjadikan isu ini sebagai bahan untuk meraih keuntungan politik.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang bukan sahaja berani, tetapi juga adil dan berprinsip,” katanya.


































