Satu gram gula-gula getah mengeluarkan purata 100 serpihan mikroplastik, walaupun ada yang mengeluarkan lebih daripada 600.- Gambar Hiasan
PARIS: Penyelidik mendedahkan gula-gula getah melepaskan ratusan kepingan plastik kecil ke dalam mulut, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pencemaran dan kesannya terhadap kesihatan manusia.
Menurut Utusan Malaysia, kajian dijalankan ketika penyelidik semakin kerap mengesan kewujudan mikroplastik di pelbagai lokasi, dari gunung hingga ke dasar lautan, malah turut ditemukan dalam udara yang dihirup manusia.
Penyelidik turut mengesan kehadiran mikroplastik di dalam tubuh manusia, termasuk paru-paru, darah dan otak, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kesannya terhadap kesihatan.
Ketua penyelidik dari Universiti California, Sanjay Mohanty berkata, setakat ini tiada bukti langsung menunjukkan mikroplastik berbahaya kepada kesihatan manusia.
“Sebaliknya, kajian perintis ini bertujuan untuk mendedahkan satu lagi faktor yang kurang dikaji tentang bagaimana mikroplastik boleh memasuki tubuh manusia menerusi gula-gula getah,” katanya.
Menurut kajian, satu gram gula-gula getah mengeluarkan purata 100 serpihan mikroplastik, walaupun ada yang mengeluarkan lebih daripada 600.
Berat purata gula-gula getah adalah sekitar 1.5 gram.
Penyelidik mendakwa, individu yang mengunyah kira-kira 180 keping gula-gula getah setahun mungkin menelan sekitar 30,000 mikroplastik.
Namun, Mohanty menegaskan jumlah itu jauh lebih kecil berbanding banyak cara lain manusia menelan mikroplastik.
Sebagai contoh, penyelidik lain menganggarkan tahun lalu bahawa satu liter air dalam botol plastik mengandungi purata 240,000 mikroplastik.


































