WELLINGTON: Gempa bumi berkekuatan 6.7 magnitud menggegar kawasan perairan di selatan New Zealand , menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Menurut Utusan Malaysia, gempa tersebut berlaku kira-kira pukul 2.43 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer di luar hujung barat daya Pulau Selatan New Zealand.
Pusat gempa terletak kira-kira 160 kilometer dari penempatan di daratan Riverton.
Pada awalnya, gempa itu direkodkan dengan kekuatan 7.0 sebelum diturunkan kepada 6.7.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Honolulu melaporkan tiada amaran tsunami atau kerosakan segera.
Agensi pengurusan kecemasan New Zealand memberi amaran kepada penduduk agar menjauhi kawasan pantai berdekatan kerana risiko arus kuat yang luar biasa.
“Tiada ancaman darat dijangka,” kata agensi itu dalam nasihat nasional.
Rose Ivory, pemilik La Riviera Guesthouse di Riverton berkata, keretanya terasa bergoyang dan berpusing.
“Gegaran itu agak lama juga. Tetapi semua orang nampaknya tenang. Saya pergi membeli barang runcit, ya, tiada siapa yang kelihatan terlalu risau,” katanya.
Pengurus Ziff’s Cafe and Bar di Invercargill, Ben Sievwright berkata, dia hanya merasakan sedikit gegaran.
“Cuma gegaran kecil, tiada apa yang luar biasa,” katanya.
New Zealand terletak di sempadan dua plat tektonik utama dan sering dilanda ribuan gempa bumi kecil setiap tahun.
Gempa bumi berkekuatan 6.3 pernah memusnahkan sebahagian besar Christchurch pada tahun 2011, mengorbankan 185 orang, menurut angka rasmi kerajaan.


































