LONDON: Lapangan Terbang Heathrow di Britain ditutup sepenuhnya selama 24 jam selepas kebakaran besar di sebuah pencawang elektrik mencetus gangguan bekalan kuasa ke seluruh kemudahan itu.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan penjejakan dalam talian FlightRadar24 melaporkan penutupan Heathrow yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di Eropah menjejaskan sekurang-kurangnya 1,351 penerbangan.
“Heathrow sedang mengalami gangguan kuasa yang besar. Pihak pengurusan menjangkakan gangguan besar berlanjutan beberapa hari lagi.
“Penumpang tidak seharusnya pergi ke lapangan terbang dalam apa jua keadaan sehingga ia dibuka semula,” kata pengendali lapangan terbang dalam kenyataan di laman webnya.
Ia juga memaklumkan terdapat 120 penerbangan dalam udara menuju ke Heathrow ketika penutupan diumumkan dengan beberapa daripadanya terpaksa berpatah balik atau dilencongkan.
Briged Bomba London memaklumkan kebakaran besar berlaku di pencawang elektrik di Hayes kira-kira pukul 11.23 malam (waktu tempatan) berdekatan kawasan Hillingdon, London yang menyebabkan gangguan bekalan.
Imej di media sosial menunjukkan api marak dan asap tebal berkepul-kepul dari pencawang tersebut.
Video lain yang dirakam di dalam terminal Heathrow menunjukkan kedai-kedai ditutup dan koridor yang lengang, hanya diterangi lampu kecemasan.
“Kebakaran ini telah menyebabkan gangguan bekalan kuasa yang menjejaskan sejumlah besar rumah dan perniagaan tempatan. Kami bekerjasama rapat dengan agensi terlibat untuk meminimumkan gangguan,” kata Penolong Pesuruhjaya Briged Bomba London, Pat Goulbourne.
Menurut syarikat utiliti Scottish and Southern Electricity Networks, gangguan bekalan elektrik itu menyebabkan lebih 16,000 rumah terpaksa bergelap.


































