Seorang penduduk mencari barangan peribadi di celah timbunan runtuhan rumahnya yang musnah dilanda puting beliung di Poplar Bluff, Missouri.
WASHINGTON: Angin puting beliung ‘ganas’ meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa di Amerika Syarikat (AS) berikutan ribut kuat yang melanda seluruh negara sejak Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, negeri-negeri yang paling teruk terjejas termasuk Arkansas, Texas dan Oklahoma dengan Missouri mencatatkan jumlah kematian tertinggi seramai 12 orang.
Jumlah korban meningkat selepas lapan orang dilaporkan maut di Kansas akibat kemalangan besar melibatkan lebih 50 kenderaan di lebuh raya Sherman County.
Ribut debu turut menyebabkan tiga kematian di Texas dan mencetus kecelakaan jalan raya melibatkan 38 kenderaan.
Ratusan rumah musnah sepenuhnya sementara lebih 240,000 hartanah di enam negeri termasuk Texas, Missouri dan Illinois mengalami gangguan bekalan elektrik pada petang Sabtu, menurut laman penjejak PowerOutage.
“Semuanya hancur dan langsung tidak nampak seperti rumah lagi. Hanya padang timbunan serpihan. Kami melihat lantai terbalik dan terpaksa berjalan di atas dinding,” kata Pegawai Polis Butler County, Koroner Jim Akers, menceritakan pengalaman pihak berkuasa menyelamatkan mangsa di tengah-tengah ribut.
Seorang penduduk, Dakota Henderson berkata, beliau dan pasukan penyelamat menemukan lima mayat di luar rumah ibu saudaranya yang musnah di Wayne County, kawasan yang paling teruk terjejas.
Agensi pengurusan kecemasan Missouri melaporkan, 19 taufan telah melanda 25 daerah setakat ini sementara di Texas dan Oklahoma, ribut turut mencetuskan lebih 100 kebakaran hutan dan menyebabkan puluhan treler besar terbalik.
Keadaan cuaca ekstrem diramalkan memberi kesan kepada lebih 100 juta orang, dengan angin kencang mencecah kelajuan 130 kilometer sejam dijangka melanda dari sempadan Kanada hingga ke Texas.
Amaran banjir kilat turut dikeluarkan di Alabama, Arkansas dan beberapa negeri lain di tenggara AS ketika cuaca buruk terus bergerak melintasi rantau itu.


































