Penduduk berjalan berhampiran jalan raya ketika cuaca berjerebu dan kabus tebal di Ulaanbaatar, ibu negara Mongolia.
ISTANBUL: Tahap pencemaran udara di hampir semua negara di dunia melebihi had selamat yang ditetapkan oleh pakar perubatan.
Menurut Utusan Malaysia, analisis oleh firma teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir yang diterbitkan semalam mendapati, hanya tujuh negara mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai zarah halus (PM2.5) pada tahun 2024.
Negara-negara tersebut termasuk Australia, New Zealand, Estonia, Iceland dan beberapa negara pulau kecil, dengan purata tahunan PM2.5 sebanyak lima mikrogram per meter padu atau lebih rendah.
Sebaliknya, Chad, Bangladesh, Pakistan, Republik Demokratik Congo dan India disenaraikan sebagai negara paling tercemar.
Laporan itu turut mendapati tahap PM2.5 di negara-negara ini melebihi garis panduan WHO sekurang-kurangnya 10 kali ganda, dengan kepekatan di Chad mencecah 18 kali ganda had yang disyorkan.
Pakar perubatan memberi amaran tiada tahap pendedahan PM2.5 yang benar-benar selamat di kerana zarah mikroskopik ini boleh memasuki aliran darah dan menyebabkan kerosakan organ yang serius.
Namun, mematuhi garis panduan kualiti udara dapat membantu mencegah berjuta-juta kematian setiap tahun.
Secara global, pencemaran udara merupakan punca kematian kedua tertinggi selepas tekanan darah tinggi.
Laporan tahunan yang kini memasuki tahun ketujuh itu turut mengetengahkan beberapa penambahbaikan dalam kualiti udara, apabila peratusan bandar yang mematuhi piawaian PM2.5 meningkat daripada sembilan peratus pada 2023 kepada 17 peratus pada 2024.
India, yang menempatkan enam daripada 10 bandar paling tercemar di dunia, mencatatkan penurunan sebanyak tujuh peratus dalam tahap pencemaran udara sepanjang tahun lalu.
Kualiti udara di Beijing pula kini setanding dengan Sarajevo, yang kekal sebagai bandar paling tercemar di Eropah untuk tahun kedua berturut-turut.


































